
Seluruh rakyat diseru meriahkan sambutan jubli perak pemerintahan Raja Perlis
KUBANG PERUN 6 April – Seluruh rakyat Perlis, termasuk agensi-agensi kerajaan dan masyarakat setempat, diseru untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perlis (2000 – 2025) dengan mempertingkatkan aspek kebersihan dan keceriaan di seluruh negeri.
Pesanan ini penting khususnya dalam menyambut kehadiran para tetamu luar yang akan hadir sempena sambutan bersejarah tersebut khususnya pada 17 April 2025 ini, di samping menjadi lambang kegembiraan dan penghargaan rakyat terhadap pemerintahan Tuanku Raja Perlis yang telah menjangkau 25 tahun.
Titah berkenaan dizahirkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Yang DiPertua MAIPs, selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-10 Tahun 2025 yang berlangsung di Masjid Al-Rashid, Kubang Perun.
Keberangkatan Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut sama berangkat ialah anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Tuanku Raja Muda turut menzahirkan rasa sukacita melihat peningkatan ketara dalam keindahan dan penjagaan rapi masjid tersebut yang bukan sahaja menjadi pusat ibadah, malah simbol kesejahteraan komuniti setempat.
Sehubungan itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut menyampaikan sumbangan wakaf tunai bagi tujuan penyelenggaraan dan pemeliharaan masjid berkenaan, hasil sumbangan seorang pewakaf budiman, Abdullah Mahamad.
Sumbangan ini diharap dapat menyokong usaha mengekalkan keselesaan dan keindahan rumah ibadah yang juga menjadi mercu tanda kepada kemakmuran dan keharmonian rakyat negeri Perlis.
FOTO