Dua lelaki maut Toyota Estima terbabas
ALOR GAJAH 18 Februari – Dua lelaki maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima terbabas di Kilometer 194.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara berdekatan Plaza Tol Ayer Keroh dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Go Kuan Woei adalah pemandu kenderan tersebut dan Yee Kam Pou pula penumpang tempat duduk hadapan serta masing-masing berusia 46 tahun.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kedua-dua mangsa yang berasal dari Layang-Layang, Johor dalam perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan kerja iaitu membaiki rumah.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati ada kesan tayar di atas permukaan rumput sebelah kiri sewaktu kenderaan itu terbabas.
“MPV berkenaan dipercayai hilang kawalan sejurus tiba di tempat kejadian sebelum terbabas dan melanggar papan tanda di bahu jalan.
“Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya di sini hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Abd. Razak Taat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jasin berkata, pihak menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 8.22 pagi.
Menurutnya, setiba di tempat kejadian mendapati kedua-dua mangsa tersepit dalam MPV yang terbalik dan berjaya dikeluarkan selepas itu.
Beliau berkata, dua buah jentera bomba membabitkan 13 anggota telah dikejarkan di tempat kejadian.