Rencana

Betulkah Botox boleh kurangkan ‘anxiety’?

PANDEMIK telah memberi pelbagai kesan ke atas kesihatan fizikal dan mental setiap orang di seluruh dunia, terutamanya yang membawa kepada peningkatan gejala kemurungan dan kebimbangan atau pun anxiety.

Fenomena ini telah mendorong saintis untuk melihat dengan lebih jauh lagi ke dalam usaha untuk mencari tindak balas yang berkesan. Dan beberapa penemuan mereka pastinya terbukti tidak dijangka.

Menurut kajian baru-baru ini, Botox boleh digunakan untuk mengurangkan anxiety.

Satu pasukan penyelidik dari University of California, San Diego, mengkaji potensi manfaat Botox, atau toksin botulinum pada kesihatan mental.

Mereka mengkaji data daripada Pentadbiran Makanan dan Dadah bagi hampir 40,000 orang yang telah menerima rawatan Botox untuk tujuan kosmetik atau perubatan sama ada untuk mengurangkan kedutan, migrain atau kekejangan otot.

Penemuan mereka yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports boleh dikatakan mengejutkan.

Mereka mendapati bahawa risiko anxiety yang dilaporkan adalah antara 22 peratus dan 72 peratus lebih rendah pada pesakit yang dirawat dengan Botox berbanding mereka yang tidaka menerima suntikan tersebut.

Itu berlaku untuk separuh daripada keadaan dan tempat suntikan yang dikaji iaitu pada otot muka untuk kegunaan kosmetik, otot muka dan kepala untuk migrain, bahagian atas dan bawah muka untuk kekejangan dan otot leher untuk rawatan tortikolis.

Pada peringkat itu, para penyelidik menganggap bahawa toksin botulinum boleh mencapai kawasan sistem saraf pusat yang terlibat dalam pengawalan ‘mood’ dan emosi, sekali gus memberi kesan kepada kesihatan mental.

Tetapi mereka juga percaya bahawa melegakan migrain atau kekejangan, iaitu keadaan kronik yang boleh menyebabkan anxiety, berkemungkinan memainkan peranan dalam kesihatan mental.

Memandangkan kekurangan data mengenai subjek itu, para saintis kini berhasrat untuk meneruskan penyelidikan mereka untuk menentukan mekanisme di mana Botox boleh mengurangkan anxiety. – SM

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button