Dua helikopter Ukraine ditembak Russia
RUSSIA tembak jatuh dua helikopter Ukraine yang cuba memindahkan pemimpin batalion nasionalis yang mempertahankan pelabuhan Mariupol yang berdepan serangan.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Igor Konashenkov, memaklumkan ia sebahagian daripada usaha pihaknya membatalkan usaha pejuang Ukraine meninggalkan negara itu melalui laluan yang tidak dipersetujui.
“Percubaan baharu rejim Kyiv untuk memindahkan pemimpin batalion nasionalis Azov telah dibatalkan. Dua helikopter Mi-8 Ukraine yang cuba menuju bandar dari laut ditembak jatuh oleh sistem antipesawat mudah alih,” katanya.
Tambah beliau Moscow pada pagi semalam mencadangkan pejuang Ukraine meletakkan senjata mereka dan meninggalkan bandar itu melalui laluan yang dipersetujui ke wilayah di bawah kawalan Kyiv.
Bagaimanapun tentera Ukraine mengabaikan cadangan itu, jelasnya.
“Memandangkan Kyiv tidak berminat untuk menyelamatkan nyawa askarnya, Mariupol akan dibebaskan daripada golongan nasionalis,” kata Konashenkov. – AFP – SM