Drama sebabak tidak jadikan Anwar perdana menteri
SELESAI drama sebabak arahan Anwar. Diterbitkan oleh Anwar. Pelakon utamanya Azmin. Dan ramai lagi pelakon tambahan.
Penonton tegar ahli PKR. Rakyat Malaysia menonton dengan kekeliruan.
Dengan drama yang dicipta Anwar beliau kini telah membuat kesimpulan bahawa sokongan masih lagi berpihak kepadanya, walaupun ada yang menentangnya di dalam PKR dan Pakatan Harapan.
Jumlahnya adalah kecil dan tidak sukar untuk dineutralkan apabila beliau menjadi perdana menteri kelak.
Tetapi untuk menjadi perdana menteri, Anwar tidak hanya memerlukan sokongan dalam kalangan penyokong PKR dan Pakatan Harapan sahaja, tetapi perlu mendapat sokongan rakyat Malaysia.
Jika beliau diserahkan tanggungjawab mengepalai jentera pilihan raya umum kelak dan tewas, sudah tentu Anwar terpaksa melupakan niat untuk menjadi PM. Dan kekal sebagai PM tepi sahaja.
Anwar perlu lebih kreatif untu memenangi hati rakyat apatah lagi kini muncul pula cerita Liwat 3.0 yang tidak pasti siapa yang menjadi pengarahnya dan penerbitnya.
Namun kemunculan peguam Haniff Khatri iaitu peguam kepada Tun M, sedikit sebanyak bolehlah dianggap ada sedikit DNA Tun M di situ.
Mengimbas sejarah sebelum ini serangan Tun M biasanya tidak tersasar. Anwar dan para pemimpin PH yang ada hari ini sendiri telah berasa meringkuk di dalam penjara. Pak Lah terpaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri.
Najib dan Ahmad Zahid kini kehilangan kerajaan serta sedang berdepan puluhan pertuduhan jenayah dan salah guna kuasa di mahkamah.
Drama dalam drama ini memang menggembirakan orang yang meminati politik, tetapi ia tidak baik untuk ekologi ekonomi negara.
Pelabur tidak gemar dengan situasi tidak menentu. Mereka memerlukan kestabilan untuk membuat sebarang keputusan.
Jika lebih banyak drama yang ditampilkan, maka yang ruginya adalah rakyat dan negara.
Ekonomi yang melembab akan menjadi mundur dan dikhuatiri lebih buruk jika dibelenggu inflasi.