Dong Zong! sila jaga hati Melayu – Zaman Khan
TAN SRI Zaman Khan Rahim Khan melahirkan rasa kecewa dengan tindak tanduk sebahagian penduduk Cina terutama pertubuhan cauvinis Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mereka yang kelihatan sudah mencapai tahap genting tidak bersyukur dengan kebebasan hidup yang dinikmati rakyat berbilang kaum di negara ini.
Sambil menarik perhatian budi pekerti terpuji kaum pribumi negara ini iaitu orang Melayu yang “melayani tetamu yang datang ke rumah sehingga sanggup menyediakan bilik untuk mereka”, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu berkata, beliau bimbang jika kesabaran orang Melayu tidak dapat dibendung dengan perlakuan mencurigakan itu, ia akan melarat membawa kejadian tidak diingini.
“Tapi saya harap kita (Malaysia) tak menjadi suatu keadaan yang melarat sehingga membawa pergaduhan.
“Masanya telah sampai untuk kerajaan khususnya jangan biarkan rakyat bertindak secara bersendirian dan menimbulkan keadaan tension (tekanan), salah faham dan sebagainya.
“Kita tak mahu sampai rakyat ambil tindakan sendiri.
“Perkara ini (tindakan Dong Zong) membantah tulisan khat Jawi di sekolah vernakular) boleh ditegah kalau orang Melayu bersatu. Kalau kita bersatu, Insya-Allah negara selamat,” kata beliau kepada Suara Merdeka selepas menghadiri satu forum di Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM) di ibu negara semalam.
Beliau mengulas tindakan polis sehingga terpaksa memohon perintah mahkamah untuk melarang penganjuran persidangan isu tulisan jawi di sekolah vernakular oleh Dong Zong di Kajang yang dijadualkan hari ini.
Ekoran perintah mahkamah itu yang diterima petang semalam, Dong Zong membatalkan persidangan berkenaan.
Tegas Zaman Khan, tindak tanduk Dong Zong yang tidak akur dengan ketegasan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihat persidangan berkenaan tidak diteruskan, jelas menunjukkan kerajaan terlalu `beri muka’ kepada pertubuhan terbabit.
“Kerajaan jangan toleh lagi ke belakang, mesti bertindak,” kata beliau.
Tambah Zaman Khan lagi: “Apa yang dibuat oleh Dong Zong melanggar perlembagaan (dengan mempersoalkan tulisan Jawi di sekolah).
“Dan semasa kita nak hadapi pilihan raya umum ke-13 dulu, ada seorang profesor Cina kata orang Melayu masih berpecah belah. Masa itu apalah sangat parti Melayu kita ada….Pas dan UMNO.
“Tapi apabila kita hadapi pilihan raya umum ke-14, berapa parti Melayu lagi wujud…parti ini bukan (berteraskan Islam). Daripada mana parti kecil-kecil ini dapat ongkos.
“Oleh sebab kita berpecah belah, maka mereka ‘naik kepala’.”
– SUARA MERDEKA