Nasional

Doktor keluarkan MC kepada Rosmah disiasat SPRM

MAHKAMAH Tinggi yang mendengar kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor diberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyoal siasat doktor sebuah hospital swasta yang mengeluarkan sijil cuti sakit kepada isteri bekas perdana menteri itu.

Peguam Datuk Jagjit Singh memaklumkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa pegawai SPRM telah menyoal siasat doktor tersebut semalam.

“Ini adalah satu intimidasi, Yang Arif! Mengapa SPRM bertindak sebegini. Siapa yang mengarahkan pegawai terbabit untuk pergi dan menyoal siasat doktor itu. Ini tidak seharusnya dibenarkan sama sekali,” katanya yang meminta mahkamah membuat keputusan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata persoalan di sini ialah sama ada tertuduh sihat atau sebaliknya untuk menghadiri perbicaraan, oleh itu, SPRM perlu menyiasat perkara tersebut dan mereka hanya menjalankan tugas.

“Jika doktor itu berasa terancam, beliau seharusnya membuat laporan polis,” katanya.

Mohamed Zaini berkata beliau tidak mempunyai kapasiti untuk membuat sebarang keputusan atau perintah berhubung perkara itu.

“Saya minta maaf, jika ini kesnya, individu terbabit seharusnya bebas untuk membuat laporan polis,” katanya yang kemudian mengarahkan agar perbicaraan kes itu dimulakan.

Perbicaraan kes rasuah Rosmah dijadualkan bermula pada Isnin lepas namun ditangguhkan sehingga hari ini selepas beliau gagal hadir ke mahkamah pada hari tersebut atas alasan tidak sihat dan diberikan cuti sakit sehingga 8 Feb.

Mohamed Zaini berkata mahkamah bersimpati dengan keadaan Rosmah dan membenarkan penangguhan selama dua hari namun menegaskan bahawa tiada penangguhan lanjut akan dibenarkan.

Beliau berkata Rosmah akan dibenarkan menggunakan kerusi roda di dalam mahkamah dan masa rehat yang kerap akan diberikan semasa perbicaraan jika beliau berasa tidak sihat.

Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di tiga tempat iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall di Jalan Putra, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan at Seri Perdana Residence, Persiaran Seri Perdana, Precinct 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button