Politik

Lamaran terhadap UMNO: Tok Mat nasihat jangan gopoh

SEGALA lamaran terhadap UMNO perlu di bawa ke meja perbincangan pelbagai peringkat dalam parti.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lamaran terhadap parti itu perlu dibahaskan dengan mendalam dan jujur agar  tidak terperangkap dalam permainan politik pihak-pihak tertentu.

Apa yang lebih penting, menurut beliau, UMNO tidak berpecah-belah hanya kerana terlalu cepat menerima lamaran yang masih samar-samar dan sarat dengan tanda tanya.

Mohamad berkata, beberapa perkara perlu dipertimbangkan semasak-masaknya.

“Adakah tujuan lamaran itu ikhlas dan strategik kepada kepentingan bangsa, agama dan parti?

“Akankah ia menguntungkan parti dan bangsa Melayu dalam jangka masa panjang? Juga kemudaratannya kepada UMNO dan bangsa Melayu jika ia tidak laksanakan.

“Adakah jika lamaran itu ditolak, kedudukan dan kepentingan Melayu itu akan jadi lebih parah?” tanya Mohamad.

Persoalan itu ditimbulkan Mohamad berikutan khabar yang sedang berlegar bahawa UMNO akan dilamar untuk bersama-sama mengukuhkan kepentingan politik Melayu.

Menurut Mohamad, apa juga lamaran untuk UMNO ketika ini menunjukkan parti itu telah didambakan semula dan menjadi terus berpengaruh.

Namun, Mohamad menegaskan pihak yang melamar haruslah jelas dengan tujuan mereka.

“Jika benar ia demi kepentingan Islam dan bertujuan mengukuhkan kepentingan bangsa, maka wajarlah lamaran itu difikirkan semasak-masaknya.

“Kepada yang dilamar pula, janganlah terlalu berbunga-bunga hatinya. Jangan berasa terlalu didambakan. Jangan sesekali terburu-buru hanya kerana sekali dua telah bertentang mata. Pesona nafsu kekadang sangat merbahayakan,” kata Mohamad.

Menurut beliau, dalam politik,  perlu ada kejelasan dalam tujuan, aspirasi dan tindakan.

Yang paling penting, dalam politik jangan pernah lupa apa itu ‘perjuangan’.

“Janganlah kita gopoh. Berhikmahlah dalam perhitungan kita. Kita mesti ingat.

“Sesuatu yang kelihatan dan kedengaran terlalu baik itu, boleh jadi perkara yang sebaliknya.

“Too good to be true adalah ratib berwaspada yang sebenarnya matang dan berasas,” nasihat Mohamad.-SM

(Visited 307 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button