Rencah Hidup

Dj PerlisFM hebat di konti, mahir cipta bonsai

KALAU dah hobi, sudah menjadi tabiat Mohd Shah Hashim “periksa” dahulu pokok-pokok bonsainya sebaik tiba di rumah.

Bonsai atas batu ciptaan Mohd. Shah.

Beliau ketepikan dahulu masa rehatnya selepas mengendalikan segmen Ranggi 102.9 yang berakhir tengah malam.

Sikap Dj Terbaik Anugerah Seri Angkasa (ASA) Radio Televisyen Malaysia (RTM) 2005 ini memang sudah difahami oleh isteri dan tiga anaknya.

Mohd Shah, 52, berkata, beliau yang memilih menanam bonsai “on the rock” atau bonsai atas batu mengaku kerja-kerja ini memang cerewet sehingga diibarat bagai menjaga bayi.

Tambahnya, berjam-jam masa dihabiskan seharian sedangkan hasil yang bakal dilihat itu mungkin menjangkau bertahun.

“Peminat bonsai tidak mempedulikan tentang masa tetapi sentiasa ralit bila melakukan kerja seni yang memerlukan banyak kesabaran,” ujarnya yang mempunyai hobi ini sejak di bangku sekolah.

Mohd Shah berkata, sebelum itu beliau perlu mencari batu sebagai tapak untuk menanam bonsai.

Bagi mendapat batu yang sesuai, Mohd Shah berkata, beliau terpaksa mendaki bukit yang ada air terjun pada setiap hujung minggu.

“Saya akan mencari batu ini yang biasanya menjadi tempat tinggal semut, ia akan nampak cantik bersarang setelah dibersihkan,” katanya kepada wartawan SUARA MERDEKA.

Beliau berkata, setakat ini sudah berpuluh bonsai dihasilkan yang antaranya jenis pokok “blue bell” yang mengeluarkan bunga ungu, pokok asam jawa, pokok maru yang digunakan membuat tapai dan banyak lagi.

Beliau berkata, sebaik tunas mula membesar maka ia akan mengeluarkan ranting dan pokok yang boleh dibentuk dalam pelbagai gaya yang disukai sama ada secara menegak atau mengiring dan sebagainya.

Antara puluhan bonsai atas batu ciptaan Mohd. Shah.

Selain itu, katanya, dawai juga digunakan untuk mengawal supaya mengikut gaya yang diinginkan.

“Daun bonsai ini memang cepat tumbuh, sebab itu kena digunting selalu supaya tidak membesar,” katanya.

Atas sebab itulah Mohd Shah berkata, sukar untuk meletakkan harga setiap bonsai yang dihasilkannya.

Beliau menjual bonsai yang dijaga rapi sekiranya tawaran itu berbaloi dengan apa yang diusahakan.

Bagaimanapun jauh di sudut hati, Mohd Shah mengakui tetap ada rasa sayang untuk dijual bonsai-bonsainya kerana setiap satu bonsai yang dihasilkan ada keunikannya tersendiri. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button