Ekonomi

Skim rebat cukai taksiran bagi pemilik rumah mesra alam hijau berkarbon rendah Petaling Jaya

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerima pakai Kerangka Kerja Low Carbon Cities Framework yang disediakan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (MESTECC) dan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) sebagai panduan menjadikan Petaling Jaya sebuah bandar raya hijau berkarbon rendah pada 14 Disember 2010.

Susulan itu, pasukan petugas Low Carbon Green City of Petaling Jaya telah ditubuhkan untuk merangka pelan tindakan, dasar dan program yang berkaitan antaranya ialah skim rebat cukai taksiran bagi pemilik rumah mesra alam hijau berkarbon rendah.

Skim insentif dalam bentuk rebat cukai taksiran kepada pemilik rumah yang mesra alam hijau dan mampan di kawasan Petaling Jaya merupakan antara inisiatif yang telah disyorkan dan diluluskan oleh MBPJ pada 28 Julai 2011 untuk pelaksanaan.

MBPJ menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di benua Asia melaksanakan skim seumpama ini. Susulan itu, pada November 2013, skim ini telah dianugerahkan ‘Green Apple Award’ oleh The Green Organisation di London, England.

Skim ini bertujuan menggalakkan penduduk menjalani gaya hidup yang mesra alam seterusnya menjadikan Petaling Jaya sebuah bandar raya hijau berkarbon rendah.


Rebat cukai taksiran ditawarkan kepada pemilik rumah yang telah mengambil inisiatif menjadikan bangunan kediaman mereka mesra alam dan hijau dari segi aspek tenaga, air, kepelbagaian biologi, pengurusan sisa buangan dan pengangkutan.

Skim ini juga telah dipilih oleh kerajaan Malaysia melalui MESTECC untuk dijadikan sebagai projek rintis perlaksanaan projek Green Technology Application For Low Carbon Cities (GTALCC) yang merupakan projek pembangunan inisiatif teknologi hijau di Malaysia bersama-sama United Nation Development Programme (UNDP) selama lima tahun.

Pemilihan skim rebat ini bertujuan untuk kerajaan persekutuan merangka strategi memperluaskan perlaksanaan inisiatif ini ke seluruh negara.

Sehubungan dengan itu, bersempena sambutan ulang tahun bandar raya Petaling Jaya ke-15, Majlis telah melancarkan Skim Rebat Cukai Taksiran Bagi Pemilik Rumah Mesra Alam Hijau Berkarbon Rendah Petaling Jaya Tahun 2021 bagi pemilik rumah mesra alam hijau dan berkarbon rendah di Petaling Jaya.

Borang permohonan boleh diperolehi di kaunter Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam di Tingkat 20, Menara MBPJ atau memuat turun di sini.

Setiap permohonan akan dinilai oleh panel penilai bebas bertauliah yang dilantik oleh Majlis. Pemohon yang layak akan menerima rebat yang dikreditkan terus dalam akaun cukai taksiran pemilik rumah pada tahun hadapan. Tarikh tutup permohonan adalah pada 20 Ogos 2021.

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi urusetia Sekretariat Pasukan Petugas Low Carbon Green City of Petaling Jaya, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBPJ di talian 03-7954 1440 atau faks: 03-7954 1579 atau email: [email protected]

(Visited 7 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button