Ditahan kerana mencuri ubat dan makanan untuk anak yang sakit
SANGGUP mencuri ubat-ubatan, sosej dan kek di sebuah pasar raya semata-mata untuk diberikan kepada anak yang sakit.
Wanita itu bagaimanapun telah ditahan polis semalam dan perkara itu mendapat perhatian Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal.
Prihatin dengan risiko yang sanggup diambil wanita itu sehingga ditahan polis demi anaknya yang sakit, Nik Ezanee membuat keputusan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap kes tersebut.
Malah, dia juga meluangkan masanya untuk hadir ke rumah wanita berkenaan untuk memberi bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya rasa terpanggil untuk berjumpa dengan wanita ini. Saya percaya dia mempunyai masalah kerana kalau tidak dia takkan buat perkara-perkara macam itu
“Saya harap dia dan keluarga terus cekal menghadapi cabaran untuk meneruskan kehidupan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Jelasnya, disebalik rungutan sesetengah orang berkenaan kesesakan jalan, penututup jalan, sekatan jalan raya, sebenarnya lebih ramai yang berada dalam situasi yang jauh lebih sukar.
Tambahnya, Covid-19 menyebabkan ramai berada dalam situasi sukar dan kita kena bersatu untuk menyokong satu sama lain. -SM