Rencah Hidup

Dianggap pemilik jika beri haiwan liar makan – MBSA

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengingatkan pihak yang memberi makan kepada haiwan terbiar atau berkeliaran perlu bertanggungjawab mengambil dan membela dengan cara yang betul.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam berkata, perkara itu termaktub dalam peruntukan undang-undang.

“Merujuk Akta Kebajikan Haiwan, Seksyen 33, setiap individu yang memberi makanan kepada mana-mana haiwan perlu bertanggungjawab ke atas haiwan yang diberi makan dan boleh dianggap sebagai pemilik haiwan terbabit.

“Manakala aktiviti memberi makan kepada haiwan terbiar, akan menyebabkan kawasan terbabit menjadi kotor dan menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 81,” katanya dalam satu kenyataan.

MBSA memberi penjelasan berhubung pemasangan kain rentang yang dipasang oleh pihaknya mengenai beberapa lokasi berkaitan.

Kain rentang itu mengundang kritikan selepas memberi amaran pihak yang memberi makan kepada haiwan liar akan dikenakan denda.

“Pemasangan kain rentang ini adalah kaedah didikan kepada orang ramai supaya tidak memberi makan kepada haiwan terbiar / berkeliaran kerana pemantauan MBSA mendapati haiwan terbabit termasuk anjing mendapat sumber makanan daripada penduduk yang sekaligus menambah bilangannya.

“Pemasangan kain rentang ini adalah salah satu pelaksanaan kempen memberi makan secara bertanggungjawab.

“Setiap individu perlu bertanggungjawab ke atas haiwan yang diberi makan seperti mengambil dan memelihara haiwan itu di kediaman masing-masing serta menjaga kebajikan haiwan berkenaan,” katanya.

Jelasnya, tindakan memberi makanan secara berterusan tanpa menjaga kebajikan haiwan tersebut boleh menimbulkan pelbagai masalah.

Ini termasuk menyebabkan pertambahan populasi haiwan terbabit tanpa kawalan malah haiwan terbiar boleh mengganggu orang awam.

Selain aktiviti penangkapan haiwan terbiar/berkeliaran yang dilaksanakan secara berkala oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA katanya, kaedah pendidikan seperti pemasangan kain rentang ini dapat memberi pendedahan kepada masyarakat.

Sepanjang tahun lalu sebanyak 1,840 aduan berkaitan anjing yang berkeliaran diterima oleh pihak MBSA.

“Aduan yang diterima ini menyebabkan kacau ganggu kepada orang ramai dan jika tidak dibendung akan meningkatkan lagi jumlah aduan anjing terbiar yang berkeliaran,” katanya.

MBSA juga menasihatkan kepada orang ramai yang ingin membuat aduan berkaitan haiwan berkeliaran boleh menyalurkan aduan terbabit di talian bebas tol MBSA 1800884477.-SM

(Visited 1,211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button