Luar Negara

Diego tunjukkan tanda pemulihan selepas pembedahan – doktor

DIEGO Maradona mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas menjalani pembedahan bagi membuang darah beku di otaknya.

Dr. Leopoldo Luque, yang merupakan doktor peribadi kepada legenda Argentina berusia 60 tahun itu berkata, Maradona telah mula ketawa dan memegang tangannya hanya sehari selepas dia menjalani prosedur tersebut.

Maradona, yang pernah bermain untuk kelab seperti Napoli, Barcelona dan Boca Junior sebelum menggantung butnya pada 1997, dijangka akan kekal menerima rawatan di sebuah klinik di La Plata, dekat selatan Buenos Aires, untuk sekurang-kurangnya 48 jam bagi tujuan pemulihan.

Namun, Luque yang memberikan kemas kini tentang perkembangan Maradona, memberitahu, terdapat tanda awal ikon Argentina itu menunjukkan peningkatan selepas pembedahan.

“Diego tidak menunjukkan sebarang tanda berdepan masalah neurologi, mahupun komplikasi yang berkaitan dengan pembedahan. Dia berjaya mengharungi tempoh selepas pembedahan dengan cukup baik dan hasil ujian makmal juga ada menunjukkan peningkatan.

“Kami sedang mengawasinya. Hari ini, kami telah menanggalkan saluran pada luka pembedahannya. Kami saling bekerjasama dengan doktor bertugas di unit rawatan rapi, yang kini menjaga Diego pada ketika ini. Kami berada di sini hanya untuk menemani dan membantu mereka semampu yang boleh.

“Diego berada dalam keadaan baik, dia kini masih di bawah analgesia (ubat penahan sakit). Kami cuba untuk membantu pemulihannya secara berperingkat. Kami juga telah mencapai persetujuan dengan doktor terapi. Kami saling bekerjasama, dan Diego memberi maklum balas yang sangat baik.

“Dia masih dalam tempoh awal selepas pembedahan dan situasi ketika ini sukar untuk ditafsirkan. Bagaimanapun, sebaik saluran ditanggalkan, hari ini, dia ketawa, memandang saya, menggapai tangan saya dan daripada tanggapan pertama keadaannya amat menggalakkan, tetapi sukar untuk melakukan penilaian.

“Situasi yang dilalui Diego akan dinilai dari hari ke hari dan pada dasarnya untuk hari ini dia akan terus berada di unit rawatan rapi.

“Kami akan memantau serta bekerjasama dengan para doktor, dan satu ujian tomografi terkawal akan turut dilaksanakan. Itu semua bergantung kepada perkembangan yang ditunjukkan pesakit,” kata Luque kepada pemberita ketika ditemui di pintu masuk klinik.

Pendahulu penjaring gol sepanjang zaman Argentina, Lionel Messi menerusi Instagram, semalam, mendoakan rakan senegaranya itu segera sembuh.

Menyertakan sekali gambar mereka berdua, bintang Barcelona itu menulis di dalam bahasa Sepanyol: “Diego adalah kekuatan dunia. Saya dan juga keluarga mahu melihat anda segera sembuh secepat mungkin. Pelukan daripada hati!” – Daily Mail – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button