fbpx
Nasional

SOP Parlimen diperketat kerana MP datang dari seluruh negara

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia melahirkan kebimbangan Parlimen boleh pusat penularan Covid-19 ke seluruh negara kerana ahli Parlimen dari 222 kawasan berkumpul untuk bersidang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, walapun tindakan awal telah diambil namun prosedur operasi standard boleh dipertingkatkan dari semasa ke semasa sebagai tindakan pencegahan.

“Ahli Parlimen ada 222 orang, ia juga melibatkan petugas-petugas khas di Parlimen. Contoh kalau seorang yang berhormat ada seorang pembantu ia sudah menambah kepada 400 lebih orang. Ditambah lagi dengan petugas-petugas Parlimen jadi jumlah ramai.

“Walaupun SOP itu ada tetapi kita boleh pertingkatkan lagi. Kebimbangan kita ialah ahli-ahli Parlimen datang dari seluruh negara jadi bila berhimpun di satu-satu kawasan walaupun kita sudah jalankan saringan tiga hari sebelum sidang Parlimen tetapi mereka masih terdedah di komuniti,” kata Dr. Noor Hisham.

Beliau menjawab soalah wartawan dalam sidang akhbar hari ini yang bertanyakan kewajaran peraturan hanya 80 ahli Parlimen berada dalam Dewan Rakyat ketika persidangan berlangsung.


Peraturan tersebut akan dikuatkuasakan bermula esok ketika sesi pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

“Sekarang ini kita lihat di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya memang kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Jadi kemungkinan mereka boleh terdedah dengan kes-kes yang postif di luar.

“Sekarang ini kita telah syorkan untuk dilaksanakan ujian untuk setiap dua minggu untuk pastikan mereka tidak dijangkiti.

“Inilah tindakan kita supaya boleh mengelakkan ahli Parlimen dan sidang daripada tergendala. Kita mahu pastikan Parlimen bebas jangkitan Covid-19,” kata Dr. Noor Hisham.

Jelas beliau, bukan sahaja ahli Parlimen dan petugas tetapi pegawai kementerian lain yang dikehendaki bertugas di Parlimen juga diperlu disaring.

Katanya, setiap individu yang masuk ke kawasan Parlimen perlu dipastikan bebas jangkitan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizah Harun hari ini mengumumkan hanya 80 ahli Parlimen dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat pada satu satu masa. 41 daripada ahli Parlimen terbabit terdiri daripada pihak kerajaan dan 39 lagi ahli parlimen pembangkang dan bebas.

Bagaimanapun kesemua ahli Parlimen dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat sekiranya undi belah bahagian berlaku.

Selain itu, masa persidangan juga dipendekan kepada empat jam bermula Isnin depan sehingga sesi Parlimen selesai Disember depan.

Setiap ahli Parlimen juga dikehendaki untuk menjalani ujian sariangan Covid-19 setiap dua minggu sekali selain tidak dibenarkan untuk bergerak bebas di luar Parlimen sepanjang sesi Dewan Rakyat berlangsung.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button