MahkamahNasionalNegeri

Didenda RM1,000 pukul bekas isteri rebut bayi

SEORANG pekerja kilang didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku bersalah mencederakan bekas isterinya kerana berebut ingin membawa bayi berusia tujuh bulan ke sebuah klinik, tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda selepas menerima pengakuan tertuduh, Syazwan Izzuddin Samsudin, 30, yang berdepan pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan, Syazwan Izzuddin didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Norfarhana Azlin Azman, 24, yang ketika itu merupakan isterinya dengan cara memukul menggunakan tangan di bahagian kiri muka, lengan, leher dan badan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kaki lima hadapan pintu masuk sebuah klinik di Taman Cempaka dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira 10 malam, 14 Ogos 2022.

Kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, kejadian berpunca daripada salah faham antara tertuduh dan mangsa kerana berebut anak mereka yang berusia tujuh bulan pada waktu tersebut.

Difahamkan, tertuduh ingin membawa bayi tersebut ke klinik kerana tidak sihat namun dihalang mangsa dan perbuatan tersebut menyebabkan dia dipukul.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Manakala peguam Haslinda Abu Bakar memohon agar hukuman ringan diberikan memandangkan ia kesalahan pertama anak guamnya serta perlu menanggung anak dan ibunya. – SM

BACA Baru nak popular, dah pukul isteri pula

BACA Suami positif dadah pukul isteri guna kayu

PENTING

1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;

2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button