BeritaNasional

Di mana wira Melayu, Islam si penjulang keris dan kerajaan yang menjanjikan harapan?

SUARA MERDEKA: Hari ini berpusu-pusu kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad hadir di bangunan ibu pejabat syarikat berkenaan akan dilelong tidak lama lagi.

Mereka harus menelan hakikat selepas 80 tahun berjasa kepada bangsa dan negara, kini khidmat mereka tidak diperlukan lagi. Ibarat kain buruk mereka dicampak dan dibiarkan untuk hidup. Ribuan kakitangan Utusan kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata dalam keghairahan kerajaan yang menjanjikan sejuta harapan dan orang Melayu dan Islam menjerit, menjulang keris serta tanjak kononnya demi mempertahankan hak orang Melayu. Ketika sama juga kempen Buy Muslim First #BMF sedang marak di media sosial.

Kini kakitangan Utusan bagaikan kehilangan punca terpaksa meneruskan kelangsungan hidup ada yang berniaga kecil-kecilan seperti menjual pewangi kereta, belon, berniaga di pasar-pasar malam dan ada juga berniaga insurans. Paling ramai tentulah menjadi pemandu Grab dan seumpamanya.

Ada juga yang masih meletakkan harapan kepada Utusan baru yang belum diketahui bila akan dibuka semula. Ada juga yang begitu ghairah menjaja idea untuk menubuhkan Utusan Melayu baharu. Tidak kurang pula masih tidak dapat membebaskan diri dan terus menyalahkan pelbagai pihak di atas kehancuran Utusan.

Esok akan ada taklimat oleh syarikat yang dilantik bagi mencairkan aset-aset Utusan. Dikatakan Utusan bernasib malang kerana mengikut harga pasaran yang sedang merudum, nilai aset yang ada tidak akan mampu membayar hutang-hutang bank, apatah lagi untuk membayar pampasan kepada kakitangan Utusan yang teraniaya.

Lebih menyedihkan lagi, undang-undang buruh yang ada di negara ini telah lapuk, tidak akan mampu membela pekerja yang teraniaya. Undang-undang hanya mewajibkan kakitangan bergaji RM2,000 ke bawah sahaja wajib dibayar pampasan, manakala selebihnya adalah di atas pertimbangan syarikat yang mencairkan aset Utusan.

Memang tidak logik kerana rata-rata kakitangan Utusan bergaji lebih RM2,000, jadi di mana undang-undang ini dapat membela nasib pekerja yang teraniaya. Pada masa yang sama pekerja yang tiba-tiba kehilangan punca pendapatan tidak pula boleh mengeluarkan wang caruman di dalam KWSP. Atas alasan duit berkenaan untuk hari tua. Apakah akan terjadi jika pekerja berkenaan bertindak mengambil nyawa sendiri kerana tertekan dengan keadaan semasa?

Sepatutnya perkara ini dikaji semula. Undang-undang lapuk sebeginilah yang perlu dikaji diperhatikan semula kerana ia memberi kesan kepada ramai rakyat, tambahan dalam keadaan ekonomi yang memburuk ini, lebih ramai pekerja akan kehilangan sumber pendapatan.

Saya muatkan video Senyum Kambing sebagai kenangan.

(Visited 282 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button