Politik

DHPP naik taraf kepada sayap rasmi bukti keterbukaan Pas

LANGKAH Pas menaik taraf Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) kepada sebuah dewan atau sayap rasmi yang boleh melibatkan diri dalam proses pemilihan parti menunjukkan keterbukaan parti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Hassanuddin Salim berkata, dengan naik taraf itu, ahli DHPP juga kini boleh mengundi dan memilih kepimpinan di dalam parti Pas

“Ini menunjukkan keterbukaan Pas sebagai sebuah parti Islam. Kita kena faham, asasnya Pas ini adalah sebuah parti yang mengambil Islam sebagai asas dan dasar.

“Jadi, atas dasar itu, mestilah pemimpin utama atau barisan kepimpinan utama PAS adalah orang Islam dan orang yang memahami asas-asas Islam.

“Asas-asas Islam apa dia? al-Quran, hadis, Ijma’ Ulama, ilmu-ilmu Islam dan sebagainya, orang ini lah yang memimpin Pas,” katanya dalam sesi podcast anjuran Jabatan Penerangan dan Media Baru Pas Pahang.

Tambah Hassanuddin, dunia ketika ini dapat dibuktikan apabila Islam berkuasa dan memerintah, masyarakat bukan Islam akan ‘terpayung’ dan dilayani secara adil, berbanding masyarakat Islam yang hidup dalam kalangan majoriti bukan Islam.

“Umpamanya di negara China, umat Islam minoriti di sana, apa jadi dengan mereka? Di Myanmar, umat Islam yang minoriti di sana, apa yang jadi dengan mereka?

“Ini realiti yang hidup ada di hadapan kita. Maknanya bangsa-bangsa minoriti terutamanya orang Islam yang hidup di kalangan majoriti (bangsa) yang lain, mereka acap kali teraniaya,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button