Alam SekitarNasionalPencemaran

Denda RM1 juta ke atas pesalah pencemar sungai di Selangor – MB

SEKIRANYA cadangan pindaan Enakmen Lembaga Urusa Air Selangor (LUAS) 1999 diluluskan dalam pembentangan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bulan depan, denda pesalah pencemaran sungai di Selangor adalah RM1 juta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminudin Shari berkata, cadangan pindaan itu memperuntukkan denda minimum RM200,000 juga mengenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun jika sabit kesalahan.

“Penambahbaikan perundangan LUAS meliputi keseluruhan pengurusan sumber air negeri terutamanya peningkatan tahap hukuman terhadap salah laku sumber air seperti pencemaran sungai.

“Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga dalam proses semakan dan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang menekankan kepada bentuk hukuman yang lebih keras untuk kesalahan pencemaran sumber air,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan pada perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia 2020 peringkat Negeri Selangor dan pelancaran Inisiatif Friends of River di Subang Jaya, hari ini, lapor BERNAMA.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industi Asas Tani Selangor, Izham Hashim yang merasmikan program itu bagi pihaknya.

Pada masa ini,  Seksyen 79 enakmen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, serta denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan setelah pemberitahuan oleh LUAS yang menghendaki pematuhan diserahkan.

Selain itu, Amirudin berkata, LUAS akan menubuhkan pasukan khas bagi meningkatkan kawalan di kawasan sumber air dan lembangan sungai negeri untuk memperkasa tindakan penguatkuasaan sumber air.

Katanya, Skuad Pantas LUAS akan melakukan pemantauan selama 24 jam di kawasan sensitif sumber air di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi mencegah berlakunya pencemaran sumber air dan meminimumkan risiko henti tugas loji pembersihan air (LPA).

“Penubuhan skuad ini adalah kesinambungan untuk memperkasakan lagi inisiatif kerajaan Selangor sebelum ini iaitu Ops Sumber Air yang mula dilaksanakan Mac lepas, disertai pelbagai agensi berkaitan.

“Hingga kini, tujuh insiden pencemaran yang berpotensi menyebabkan henti tugas LPA (kod kuning) dan gangguan bekalan air dapat dikekang melalui Ops Sumber Air. Dengan adanya skuad ini, diharapkan langkah kawalan akan menjadi lebih ketat dan penguatkuasaan seterusnya lebih serius,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button