Debat ajelah tapi Rafizi bukan level Bossku
ZAMAN sekarang nak debat tak perlu nak susah-susah masuk studio stesyen penyiaran kerana ia boleh dilakukan secara dalam talian atau online.
Apabila ramai yang memperkatakan dan menulis tentang isu debat ini, Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil secara terang-terangan berkata, Rafizi Ramli nak berdebat dengan bossku kerana nak tumpang populariti bekas perdana menteri untuk lawan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Kalau ikutkan pencerahan Isham, Naib Presiden PKR itu hilang selama empat tahun daripada pentas politik negara, tiba-tiba muncul dan mahu menggunakan Najib untuk meraih populariti.
Tegas Isham, Rafizi, bekas Ahli Parlimen Pandan, bukan sahaja bukan level Najib untuk diajak berdebat tetapi ajakan Rafizi sekadar mahu menumpang glamer Bossku.
Jadi, kata Isham, selepas hilang empat tahun, Rafizi nak cuba dapatkan semula publisiti.
BACA PAUTAN:
https://suaramerdeka.com.my/game-on-najib-sahut-cabaran-anwar/
Oleh itu, saranan Isham dalam nada tenang tapi pedas, eloklah kalau Rafizi berdebat dengan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin yang secara terbuka mengumumkan minggu lepas, dia akan bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan akan datang.
Isham sedia menunggu untuk berdebat dengan Rafizi tapi kata Isham dalam nada sinis, mungkin Rafizi segan dengannya.
Maklumlah, pada pusingan semi-final, Rafizi kalah dengan Isham yang dinobatkan sebagai Pemidato Terbaik Debat Piala Perdana Menteri 1991.
Setahun kemudian, 1992, barulah Rafizi menang dan sekarang, kata Isham, mungkin nak ulang debat dengan beliau.
“Tapi saya rasa dia segan nak debat dengan saya. Sebab nanti kalau auta dia tidak dapat lawan fakta, mungkin dia akan merajuk hilang lagi empat tahun, wallahhualam,” kata Isham.
Isham dalam masa yang sama, menawarkan diri berdebat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – SM