Politik

Darurat tindakan drastik, terburu-buru – Syed Saddiq

Perisytiharan darurat bukan sahaja dianggap sebagai satu tindakan yang drastik tetapi juga sebagai satu langkah terburu-buru.

Sepatutnya Jemaan Menteri membuat perbincangan awal yang teliti sebelum diumumkan pelaksanaannya.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindak balas rakyat terhadap perisytiharan darurat  mengambarkan langkah tersebut tidak dirancang dengan baik.

“Darurat yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri adalah satu tindakan yang terlalu drastik dan dilihat terburu-buru.

“Reaksi dari rakyat juga mencerminkan rancangan darurat ini tidak dilakukan dengan baik. Seharusnya, Jemaah Menteri buatlah perbincangan awal dengan rapi, tapi saya lihat ia tidak berjaya diterjemah dengan baik,” kata Syed Saddiq.

Dalam kenyataan yang dikongsi di Facebook itu, bekas menteri belia dan sukan tersebut meminta kerajaan agar membentangkan rancangan yang disediakan untuk rakyat dalam menghadapi darurat.

Katanya, kerajaan harus segera membentangkan rancangan untuk melindungi kebajikan ekonomi rakyat.

“Walaupun perlaksanaan PKP ini hanya dibuat selama 14 hari, saya jangka tempoh ini akan dilanjutkan. Malah, pengisytiharan darurat sebentar tadi menyakinkan saya bahawa ia akan berlanjutan sehingga Ogos 2021.

“Jadi, kerajaan harus sediakan perlindungan moratorium secara menyeluruh kepada rakyat. Bantuan wang tunai juga harus segera diumumkan dan dilaksanakan sekurang-kurangnya bermula pada hujung bulan Januari.

“Tidak ada alasan lagi untuk membiarkan rakyat tanpa perlindungan ekonomi oleh kerajaan,” kata Syed Saddiq.

Beliau turut menyarankan agar ahli Parlimen pembangkang dijemput menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas bagi memastikan urus tadbir dan hala tuju negara bergerak dengan lancar dan stabil.

“Kerajaan harus bertindak adil dan saksama dengan pembangkang kerana darurat yang diisytiharkan secara rasmi ini adalah bertujuan untuk melawan wabak pandemik COVID-19.

“Kerajaan seharusnya fokus dan segera laksanakan pelan untuk menghadapi krisis dan darurat bukan jawapan yang tepat.

“Namun, ia sudah diisytihar pada pagi tadi. Maka, kerajaan harus segera terima gesaan dan panggil pembangkang untuk terlibat sama dalam urus tadbir negara,” kata Syed Saddiq.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenankan memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu semalam.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button