Darurat di Beirut, 135 orang maut
KABINET Lebanon semalam mengisytiharkan darurat di Beirut selama dua minggu.
Dalam masa yang sama, memetik laporan BERNAMA, lapor agensi berita Xinhua, jumlah kematian akibat letupan di pelabuhan Beirut meningkat kepada 135 orang.
Pelabuhan Beirut dikejutkan dengan dua letupan besar sekitar pukul 6.10 petang (waktu tempatan) kelmarin (Selasa).
Letupan itu turut menggegarkan bangunan serta menyebabkan kerosakan di seluruh ibu kota Lebanon itu.
Menteri Kesihatan Hamad Hassan mengumumkan, setakat ini, 135 orang terbunuh dan 5,000 lain cedera.
Darurat berada di bawah pengawasan tentera Lebanon yang juga bertanggungjawab menjaga keselamatan di bandar raya itu.
Maklumat awal mendapati ammonium nitrat yang disimpan sejak tahun 2014 di gudang No. 12 di pelabuhan itu mungkin menyebabkan letupan.
Kabinet memutuskan untuk menahan pegawai pelabuhan yang terlibat dalam penyimpanan 2,700 tan ammonium nitrat itu.
Di samping itu, kabinet juga menggesa Kementerian Pekerjaan Awam untuk menjalankan aktiviti import dan eksport melalui Pelabuhan Tripoli.
Suruhanjaya Bantuan Kemanusiaan akan berusaha menjadikan sekolah dan hotel bagi menempatkan mereka yang kehilangan tempat tinggal.
Siasatan terhadap bencana itu masih berjalan dan Majlis Pertahanan Tertinggi berjanji akan mendedahkan beberapa hasil siasatan dalam masa lima hari. – SM