DARURAT yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya akan mengkafankan terus ekonomi negara yang kini sudah pun terjejas akibat pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, apabila diisytihar darurat para pelabur tempatan dan asing akan terus menjauhkan diri dari negara ini dan tidak ada pihak yang yakin untuk berdagang dengan Malaysia.
“Apa boleh kata dengan pasti bahawa ini mungkin akan mengkafankan ekonomi kita yang sudahpun terjejas. Pelabur tempatan dan asing akan lari,” katanya dalam satu kenyataan.
Tengku Razaleigh merupakan bekas Menteri Kewangan, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan juga bekas Pengerusi Bank Dunia serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Katanya, pandemik Covid-19 telah menyebabkan kesusahan, kepayahan dan penderitaan kepada rakyat di akat umbi yang mereka bergelut untuk berhadapan dengan krisis.
“Setiap hari ada saja perniagaan, kecil dan besar yang ditutup. Ramai orang dibuang kerja dan menganggur. Untuk yang bekerja sendiri dan kontraktor, sukar untuk mereka mendapat kerja sekarang. Pada masa sama mereka perlu memberikan makan dan menyediakan keperluan asas kepada keluarga.
“Katika pendemik ini mula-mula berlaku, kelihatan kesungguhan di pihak kerajaan untuk mengawal penularan wabak ini dan menyediakan keperluan kesihatan dan rawatan yang diperlukan. Bantuan kewangan diberikan. Pekerja barisan hadapan dan kakitangan awam masih melaksanakan tugas, hingga sekarang untuk menyediakan khidmat yang diperlukan.
“Namun kebelakangan ini kelihatan kekurangan penyelarasan dan pendekatan bersepadu dalan menghadapi krisis dalam apa yang dilihat sebagai kurangnya teladan dan kepimpinan yang jelas dari kerajaan. Juga terdapat dwi standard dalam penguatkuasaan dan denda yang dikenakan, satu untuk rakyat biasa dan lagi satu untuk menteri-menteri kerajaan dan orang yang ada hubungan (dengan kerajaan).
“Malah mengenai perolehan vaksin Covid-19 yang amat diperlukan untuk rakyat dari luar negara juga kelihatan kerajaan mengambil pendekatan sempit, tidak berpandangan jauh dan tidak bertanggungjawab apabila tidak menyokong inisiatif sektor swasta, dengan mengetahui bahawa ia tidak membabitkan apa-apa kos di pihak kerajaan tetapi akan meningkatkan peluang untuk negara mendapatkan vaksin apabila ia tersedia,” katanya.
Tengku Razaleigh berkata, beliau ada alasan untuk percaya bahawa Perdana Menteri dan anggota Kabinet sudah tidak lagi mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat oleh itu sudah hilang kesahan.
“Saya sudah tulis kepada Yang Dipertuan Dewan Rakyat supaya usul undi tidak percaya diberi keutamaan untuk dibahaskan dan diundi secepat mungkin.
“Ini selari dengan prinsip Sistem Demokrasi Berparlimen kita di mana Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi mengatasi standing order dan kuasa Dewan dan jauh lebih tinggi daripada menteri-menteri kerajaan. Inisiatif saya kepada Yang Dipertua ini tidak sepatutnya dilihat sebagai berkepentingan peribadi atau saya mempunyai minat untuk jawatan Perdana Menteri, tetapi untuk menjunjung prinsip sistem Parlimen,” katanya. – SM