DAPSY yakin kerjasama dengan Dr. Mahathir bangkit semangat rakyat kali kedua
Ketua Pemuda Sosialis DAP Malaysia (DAPSY), Howard Lee Chuan How yakin kerjasama parti itu dan PKR dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad akan sekali lagi membangkitkan semangat rakyat untuk mengubah hala tuju politik negara.
Howard menyokong penuh kenyataan bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr. Mahathir dan Presiden PKR selaku Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun kedua kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 lalu.
Howard berkata, Peristiwa 9 Mei 2018 telah menunjukkan bahawa kuasa rakyat adalah kuasa keramat.
Walau bagaimanapun katanya, pada masa sekarang hala tuju politik sudah berlainan, Pakatan Harapan (PH) bukan lagi menerajui Kerajaan Persekutuan atas tindakan beberapa individu yang mengkhianati mandat rakyat.
“Namun demikian, kami percaya bahawa penerusan kerjasama antara dua tokoh politik ini akan membangkitkan semangat rakyat dan penyokong yang telah bertungkus lumus untuk mengubah hala tuju politik negara dua tahun lepas.
“DAPSY, selaku anggota Pemuda Harapan akan sentiasa berikan sokongan penuh kepada semua anggota Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dipimpini Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta semua pemimpin tanah air yang seperjuangan dengan PH untuk memastikan agenda Reformasi dicapai dan Malaysia kembali ke landasan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sempena sambutan 9 Mei, hari dimana rakyat menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dua tahun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mereka telah lama menolak perbezaan, sengketa dan kemelut antara mereka demi rakyat.
“Dua tahun lepas, kami tidak berputus asa membawa suara rakyat.
“Hari ini juga sama. Kami telah lama menolak perbezaan, sengketa dan kemelut demi rakyat.
“Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama,” kata Mahathir dan Anwar dalam kenyataan bersama mereka semalam. – SM