Politik

Dulu UMNO menangis mandat rakyat dirampas, kini giliran Mahathir, Anwar

ulama

“MASANYA telah tiba agar mandat dikembalikan kepada rakyat”.

Apa benar ungkapan itu datang daripada dua pemimpin, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini sempena memperingati ulangtahun kedua kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018, kedua-duanya tegas menyatakan:

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini tidak sah kerana dibentuk tanpa mendapat mandat daripada rakyat.”

Bagi sebahagian besar rakyat Malaysia yang kini cerdik berpolitik, apa lagi para netizen yang acap kali bertindak sebagai wartawan alam maya, tentu tersenyum simpul mendengarnya.

Siapa yang merampas mandat rakyat sebenarnya? Bila kena pada orang lain, boleh buat tak tahu saja.

Tapi bila kena rebus dah empuk, kena batang hidung sendiri pandai pula bercakap.

Takkanlah rakyat ini buta dalam buat penilaian.

Pasti kita semua tidak lupa bila sekutu PH, Parti Warisan Sabah (WARISAN) diketuai Datuk Seri Shafie Apdal mengumumkan pada 11 Mei 2018 yang enam ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) UMNO dan UPKO menyertai WARISAN.

Enam ADUN itu terdiri daripada empat ADUN UMNO dan dua ADUN UPKO. ADUN UMNO terlibat adalah Abdul Muis Pichu (Sebatik); Hamisa Samat (Tanjong Batu); Osman Jamal (Balung); dan Jamawi Jaafar (Kemabong).

Sementara ADUN UPKO terbabit adalah Ewon Benedick (Kedamaian) dan Abidin Madingkir (Paginatan).

Dengan itu boleh WARISAN ketawa memanjang membentuk kerajaan negeri pintu belakang bersama sekutunya PKR dan DAP dengan memiliki 35 kerusi berbanding BN cuma 25 kerusi.

Siapa yang menangis waktu itu? UMNO.

Tapi bila timbul isu membabitkan pembentukan PN, boleh pula Dr Mahathir dan Anwar pura-pura lupa insiden di Sabah itu.

Sehari selepas peristiwa Warisan bentuk kerajaan negeri pintu belakang itu, di Perak pula dua ADUN daripada UMNO, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik) dan Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Tualang Sekah) lompat ke PH. Kata kedua-duanya, `kami cuma menyokong’.

Ini sekali gus membolehkan PH membentuk kerajaan negeri Perak apabila mendapat 31 kerusi berbanding 29 kerusi asal dimenangi PH dalam PRU-14.

Pembentukan kerajaan negeri Perak ‘tergantung’ sebelum itu berikutan tiada mana-mana parti daripada BN, PKR dan PAS mendapat majoriti mudah iaitu 30 kerusi DUN.

PH menang di 29 kerusi DUN, manakala BN (27) dan PAS (3).

Siapa yang menangis waktu itu? UMNO. Tapi adakah sesiapa mempedulikan tangisan UMNO?

Sekitar Februari 2019, UMNO menangis lagi. Tujuh ahli parlimennya lompat ke BERSATU.

Mereka ialah Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Siapa yang menenangkan UMNO waktu itu? Tiada.

Selepas itu, tidak pelik bila Februari tahun 2020 ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan sembilan anggota parlimen lain menyertai BERSATU dari PKR.

Dari 26 ahli Parlimen yang asal, keanggotaan BERSATU bertambah 10 lagi, menjadikan 36 kesemuanya.

Antara yang menyertai Mohamed Azmin ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Mereka inilah yang kemudian antara yang membentuk kerajaan PN hari ini.

Siapa yang mempermainkan siapa duhai Dr Mahathir, Anwar?

Waima apa pun, kerajaan PN hari ini sah dan mendapat mandat rakyat seperti mana tegas Dr Mahathir selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH pada 8 Disember 2018:

“Mana-mana individu berhak untuk melompat parti sekiranya mereka mahu berbuat demikian.

“Kita adalah sebuah kerajaan yang demokratik. Kita percaya pada demokrasi dan demokrasi membenarkan ‘katak’ melompat.” – SM

(Visited 645 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button