Ekonomi

Dana RM750 juta PHB bakal dipelahap para taikun

Pemberian dana RM750 juta kepada Pemodalan Hartanah Berhad (PHB) hanya membuka ruang kepada para taikun melahapnya.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit mempersoalkan siapakah yang mendapat manfaat terbesar daripada RM750 juta ini.

“Saya melihat dalam keadaan ramai rakyat yang sedang menghadapi kesusahan dalam kehidupan seharian, justeru bukanlah satu keperluan utama untuk membelanjakan dana sehingga RM750 juta bagi membuat ‘shopping – spree’ dengan pembelian aset-aset hartanah dari taikun-taikun atau syarikat-syarikat swasta yang besar ini.

“Maka, setelah PHB berbelanja membeli aset-aset hartanah dari taikun-taikun dan syarikat-syarikat besar bernilai puluhan atau ratusan juta ringgit, yang akan menerima manfaat terbesar adalah syarikat-syarikat besar swasta dan pemaju yang akan menjual aset-aset hartanah kepada PHB.”

“Sebaliknya pula, ketika rakyat Bumiputera ketika ini lebih memikirkan soal kelangsungan hidup, seperti pengeluaran KWSP untuk menampung kos hidup yang semakin mendesak.

“Justeru saya melihat situasi kritikal dalam musim COVID-19 ini, adalah bukan satu keperluan dan tindakan bijak untuk kerajaan melakukan alokasi sebanyak RM750 Juta itu.

“Sebaliknya biarlah dana-dana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedia ada melakukan pembelian dan melabur di sektor hartanah yang memang mempunyai alokasi pelaburan hartanah seperti dana-dana di bawah Permodalan Nasional Berhad seperti Amanah Saham Bumiputera, Amanah Saham Wawasan 2020 dan sebagainya,” katanya

Jelasnya, adalah jauh lebih baik untuk peruntukan RM750 Juta ini (alokasi bajet) disalurkan kepada perkara yang terus sampai rakyat bumiputera terbanyak yang lebih memerlukan perhatian dan pembelaan yang mendesak.

“Maka pilihan lain yang lebih sesuai dalam keadaan hari ini untuk agenda Bumiputera adalah dengan mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik atas tanah rizab Melayu supaya Bumiputera berkemampuan membeli rumah seterusnya menambahkan lagi pegangan aset Bumiputera selain membantu mereka ke arah pelaburan jangka panjang mereka yang lebih terangkum,” katanya lagi.

PHB katanya, dilihat sebagai sebuah dana pelaburan hartanah yang membeli aset-aset hartanah seperti bangunan pejabat, pusat beli belah, hospital swasta dan sebagainya serta mendapat hasil sewa, dan kemudian memberi dividen kepada pemegang-pemegang unit saham ini.

“Maka dengan nilai sebanyak RM750 juta ini nanti, PHB akan melakukan pembelian hartanah dari syarikat-syarikat besar yang mahu mengurangkan (offload) aset hartanah mereka.

“Kemudian, hartanah ini disatukan (unitize) pada harga RM1 seunit saham di Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebelum unit-unit saham ini dijual kepada bumiputera sebagai pelaburan.

“Saya melihat manfaatnya bukan kepada rakyat bumiputera terbanyak, tetapi manfaatnya lebih kepada taikun-taikun dan syarikat-syarikat besar serta para pemaju yang mempunyai aset hartanah yang mahu melakukan pengurangan aset (divest) melalui Jual & Sewa Balik (Sale & Leaseback),” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Temerloh dalam kenyataan menerusi facebooknya, hari ini.

Dalam hal ini beliau memberikan contoh aset di dalam portfolio PHB ini termasuk Menara CIMB di Kuala Lumpur (yang disewa secara jangka panjang oleh CIMB), Tesco Setia Alam, yang dibangunkan oleh pemaju, disewa kepada Tesco, kemudian dijual kepada AHB dan Hospital Gleneagles Ampang, yang dijual kepada PHB dan disewa oleh hospital operator.

PHB katanya, akan menyatukan (unitize) aset itu ke dalam bentuk unit-unit saham AHB, dan tentunya saya yakin Bumiputera B40 atau M40 tidak akan melakukan pelaburan saham buat masa ini yang cuma memberi pulangan dividen 5% ke 6% setahun atau mungkin jauh lebih kurang dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.

 

(Visited 307 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button