Dalam Lukisan Yang Cantik Ada Kerosakan”, Kenali Perbezaan Mural, Grafiti Serta Vandalisme!
Jika menjejakkan kaki ke Petaling Street di Kuala Lumpur, pastinya mata pengunjung akan dihidangkan dengan paparan lukisan dinding yang besar serta unik.
Dalam setiap lukisan yang dipaparkan atau lebih dikenali sebagai mural, pasti akan terdapat mesej tertentu yang disampaikan oleh pengkarya.
Berdasarkan tinjauan Suara Merdeka di lokasi tersebut, antara mesej yang terpampang kebanyakannya melibatkan isu-isu kemasyarakatan serta perpaduan.
Namun dari sudut grafiti dan vandalism pula, ada sesetengah golongan ‘tangan nakal’ ini menconteng dinding dengan perkataan kurang molek serta negatif.
Seorang pekerja seni, Ismail Harun berkata, mural, grafiti dan vandalisme adalah perkara yang berbeza namun masyarakat anggap ia perkara yang serupa.
Katanya, mural adalah lukisan dinding yang besar dan ia mengandungi imej serta mesej yang mengangkat isu kemasyarakatan selain dilukis pada kawasan yang dibenarkan.
“Grafiti pula adalah contengan pada dinding yang melibatkan semburan cat dengan kombinasi warna yang tersendiri sekali gus memaparkan perkataan yang tertentu.
“Berbeza dengan vandalism, ia merupakan contengan rawak yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menjahamkan lukisan yang cantik,” katanya.
Ismail berkata demikian mengulas perbezaan di antara mural, grafiti dan vandalism yang sering dianggap serupa oleh masyarakat.
Ketika mendekati seorang peniaga, Ramli Jusoh, dia mempunyai pandangan sebaliknya dan beranggapan mural adalah vandalisme.
“Lukisan sebegini tidak sesuai untuk diconteng pada gerai-gerai kecil. Hanya sesuai untuk dinding-dinding bangunan yang dibenarkan.
“Apa-apa pun, mural di sekitar Petaling Street memang boleh menarik minat pelancong tetapi ia tidak membantu para peniaga meningkatkan jualan,” katanya – SUARA MERDEKA