Nasional

Esok 2020 tapi wawasannya tidak tercapai

KIRA-kira 29 tahun lalu iaitu pada 28 Februari 1991 Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ke-4 ketika itu membentangkan satu kertas kerja bertajuk “Malaysia ‐ Melangkah ke Hadapan”.

Kertas kerja itu mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Ianya dikenali sebagai “Wawasan 2020”

Esok 1 Januari 2020 adalah hari yang dinanti-nantikan oleh mereka yang lahir sebelum tahun 1990-an.

Bagi mereka yang lahir pada tahun 1930-an, 1940-an, 1950-an, 1960-an, 1970-an dan 1980-an tentulah sangat teruja.  Pada waktu itu, sebilangan besar daripada mereka mengira umur masing-masing pada tahun 2020  mencecah usia berapa tahun.

Dan esok, mereka sepatutnya berbangga dengan status sebagai rakyat negara maju.

Bagaimanapun selepas hampir 29 tahun menanti, dapat dirasakan tidak ramai yang bercakap tentang Wawasan 2020 termasuk di media sosial,

Sedangkan Dr. Mahathir yang mengumumkan wawasan itu  kini sekali lagi menjadi Perdana Menteri selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14, tahun lalu. Sepatutnya sambutan Tahun Baharu 2020 diraikan dengan hebat! Kerana kita telahpun hampir pada detik yang ditunggu-tunggu sejak 29 tahun lalu.

Namun nampaknya tidak. Ungkapan Wawasan 2020 itu sahaja hampir tengelam dan hilang. Bukan sahaja media perdana tidak bercakap tentangnya malah sebilangan besar pemimpin kerajaan juga tidak menyebut tentang Wawasan 2020 dalam amanat sambutan Tahun Baharu 2020.

Mungkinkah ketidak terujaan untuk bercakap tentang Wawasan 2020 itu kerana sebilangan besar menyedari bahawa sembilan cabaran yang digariskan Dr. Mahathir untuk Malaysia menjadi maju sepenuhnya, tidak tercapai.

Cabaran pertama sahaja pun kita sudah gagal, iaitu  mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama. Mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

Kita belum lagi bangsa Malaysia. Kita masih bertelagah perkara-perkara kecil seperti wajarkah Jawi diajar di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil? Sampai terpaksa pula pihak polis memohon perintah mahkamah membatalkan kongres anti-Jawi.

Tidak terbayang jika kongres tersebut berjaya dilangsungkan, mungkin sampai saat ini kita tidak aman dan terpaksa menyambut Tahun Baharu 2020 dalam suasana yang tidak tenteram.

Kita diambang 2020, namun masih ada rakyat Malaysia termasuk pemimpin kerajaan yang masih gagap dan gagal berbahasa kebangsaan dengan lancar dan teratur. Gaya bahasa Malaysianya di Dewan Rakyat dan di Dewan Undangan Negeri menjadi bahan lawak rakyat yang mendengar.

Kita masih gagal untuk berlaku adil antara satu sama lain. Ada syarikat yang menetapkan bahasa ibunda kaum tertentu sebagai syarat untuk diambil bekerja. Ada syarikat yang melarang pekerjanya bertudung malah ada yang pula yang melarang pekerjanya untuk bersolat.

Di media sosial rakyatnya saling maki memaki, kutuk mengutuk keturunan orang lain. Terbaharu ada seorang yang dibuang kerja kerana menghina raja yang dijunjung dikatakan bertaraf penghulu kampung dan agama yang dianuti pihak lain berasal dari bangsa penunggang unta di negara padang pasir.

Ada pula menggelar orang lain kaum pendatang dan tidak mempunyai hak apa-apa di negara ini sedangkan dia telah lahir dan dibesarkan di Malaysia. Tidak adil. Bukan salahnya untuk lahir dan dibesarkan di tanah tercinta ini semata-mata untuk digelar pendatang.

Ada lapan lagi cabaran termasuk ekonomi dan pembangunan yang juga kita gagal untuk mengatasi sebagai rakyat negara maju.

Bacalah sendiri di link ini  https://www.pmo.gov.my/ms/wawasan-2020/malaysia-sebagai-negara-maju/ ucapan penuh Dr. Mahathir mengenai cabaran yang digariskan negarawan ulung kita itu, yang mengikut Malaysiakini, pada waktu ini hanyalah mendapat tempat ke-19 disukai rakyat daripada 28 menteri yang disenarikan.

Apapun selamat menyambut Tahun Baharu 2020.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button