Nasionalpilihan

Daftar Pemilih Tambahan bulan Ogos dibuka untuk semakan selama 30 hari

Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2022 (DPT BLN8/2022) telah diperaku dan diwartakan bermula 15 September 2022.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, DPT BLN8/2022 ini dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai 15 September 2022 hingga 14 Oktober 2022.

“DPT BLN8/2022 ini mengandungi nama bagi 43,508 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Ogos 2022 hingga 31 Ogos 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

“Dalam masa sama, DPT BLN8/2022 turut mengandungi 19,868 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 6,544 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi,” katanya.

Dalam satu kenyataan, SPR menyediakan 5 kaedah semakan bagi DPT BLN8/2022 iaitu seperti berikut:

(a) Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my;

(b) Portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my;

(c) Aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my;

(d) Aplikasi mudah alih MySPR Semak; atau

(e) Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Ogos 2022 hingga 31 Ogos 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN8/2022.

“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN8/2022, mereka boleh membuat
TUNTUTAN dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat BANTAHAN ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan
http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN8/2022.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN8/2022 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

(Visited 302 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button