Daftar kelahiran dalam tempoh 90 hari selepas PKP tamat
MEREKA yang baru menyambut kelahiran ahli keluarga baharu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tidak perlu tergesa-gesa untuk mendaftar bayi mereka.
Semua kelahiran baharu dalam tempoh PKP diberikan kelonggaran tempoh selama 90 hari selepas PKP tamat umutk melakukan pendaftaran.
Keputusan itu yang dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut akan memansuhkan sebarang penalti.
Bagi kes kehilangan kad pengenalan yang memerlukan penggantian segera untuk urusan tertentu seperti permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), orang ramai boleh menghubungi Pejabat Pendaftaran Daerah di kawasan masing-masing.
“Sekiranya timbul kes kecemasan, mereka boleh menggantikan kad pengenalan itu dengan cara berjumpa dengan pegawai Pendaftaran Negara melalui temu janji dan sebagainya.
“Kalau tiada kes keperluan segera, boleh tunggu dan ganti kad pengenalan dalam tempoh 90 hari selepas PKP ditamatkan,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakobnya pada sidang media harian PKP, di Putrajaya seperti yang dipetik dari BERNAMA hari ini.
Ismail Sabri berkata rakyat Malaysia yang berada di luar negara turut diberikan tempoh 90 hari selepas PKP di negara-negara terbabit tamat dan mereka boleh melakukan pendaftaran melalui pejabat kedutaan dan sebagainya.
Mengenai pelancong dari pelbagai negara yang masih berada di negara ini sepanjang pelaksanaan PKP, Ismail Sabri berkata pelancong selesa berada di Malaysia kerana mereka yakin tindakan kerajaan mampu melindungi mereka daripada COVID-19.
“Mungkin apabila para pelancong ini bandingkan dengan negara asal, kawalan yang Malaysia lakukan lebih baik dari negara mereka sendiri. Pelancong itu sendiri tidak berani balik ke negara asal mereka dan ingin terus tinggal di negara kita.
“Bukan sahaja di Terengganu ada pelancong, di Pulau Tioman, Langkawi, Cameron Highlands dan banyak lagi destinasi pelancongan negara,” katanya.
Tambah Ismail Sabri, kebanyakan pelancong ini masuk ke Malaysia sebelum PKP dilaksanakan, dan pelancong berkenaan boleh terus berada di Malaysia.
“Cuma dari segi hotel dan sebagainya adalah tanggungan pelancong itu sendiri. Malaysia tidak akan halau pelancong pulang lebih-lebih lagi pada masa ini penerbangan untuk mereka pulang pun tidak ada,” katanya.
Katanya pelancong berkenaan tidak perlu menjalani saringan kesihatan jika mereka tidak mengalami sebagarang tanda atau gejala COVID-19.