Nasional

11 penjara sementara untuk yang ingkar PKP mulai 23 April

SEBANYAK 11 penjara sementara bagi tahanan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mula beroperasi 23 April ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakannya setelah mendapat nasihat Pejabat Peguam Negara.

“Kementerian Kesihatan pula akan membantu menyediakan petugas kesihatan yang akan ditempatkan di penjara sementara itu,” katanya pada sidang media harian perkembangan PKP di Putrajaya seperti yang dilaporkan oloeh BERNAMA  hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah individu yang ditahan kerana mengingkari PKP di seluruh negara semalam menurun kepada 1,111 individu berbanding 1,565 pada hari sebelumnya.

Jelasnya, ini merangkumi 997 individu yang direman dan 114 yang dijamin polis, menjadikan keseluruhan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP hingga semalam sebanyak 14,750.

“Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah mengadakan 820 sekatan jalan raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 451,487 kenderaan,” katanya.

Beliau berkata selain itu, sebanyak 51,706 pemeriksaan mengejut turut diadakan di seluruh negara dengan 5,861 premis telah diperiksa.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan 2,627 operasi sanitasi awam di 105 zon termasuk di 29 Zon Merah sejak 30 Mac lepas.

“Semalam, sebanyak 186 operasi sanitasi meliputi 48 zon di 14 negeri, termasuk 38 kawasan di Johor dan 17 kawasan di Melaka yang turut dilakukan sanitasi awam,” katanya.

Beliau berkata sehingga semalam juga, operasi sanitasi telah merangkumi 1,405 bangunan kerajaan, 1,055 tempat awam, 1,078 pusat perniagaan, 192 pasar raya dan 38 Projek Perumahan Rakyat.

Sementara itu, mengulas inisiatif  dilakukan komuniti setempat dengan menubuhkan pasukan kawalan sendiri bagi mengawasi kawasan mereka dalam usaha mengekang penularan COVID-19, beliau berkata kerajaan mengalu-alukan langkah berkenaan tetapi mereka perlu mendapatkan nasihat dan rundingan dengan polis.

“Kita faham, banyak komuniti yang membuat kawalan kerana ingin melindungi kawasan mereka, ada kawasan mereka yang mungkin sifar positif COVID-19, tentu mereka tidak mahu orang daripada Zon Merah memasuki kawasan mereka.

“Mereka boleh bertindak melindungi kawasan mereka, kita benarkan, cuma maklumkan pada polis, dan dapatkan panduan. Mereka tidak boleh tangkap macam tu sahaja kerana tidak ada kuasa …kita tak mahu masalah dan perkara tidak diingini timbul nanti,” katanya. – BERNAMA

(Visited 143 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button