D. Saarvindran akan beraksi bersama Terengganu musim depan
BEKAS pemain sayap Johor Darul Ta’zim II (JDT ll), D. Saarvindran sah menyertai pasukan Terengganu (TFC) musim hadapan.
Perkara itu diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menerusi laman sosial facebook rasmi TFC, Terengganu Football Club selepas selesai majlis menandatangani kontrak hari ini.
Menurut kenyataan itu, Saarvindran yang berasal dari Klang, Selangor sebelum ini pernah mewakili pasukan Harimau Muda, Pahang sebelum menyertai JDT ll pada 2017.
“Saarvindran telah mengikat kontrak selama setahun dengan TFC. Kehadirannya diharap dapat memantapkan lagi skuad Penyu dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2020,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain berkata khidmat pemain berusia 27 tahun itu amat ditagih bagi memantapkan dan memberi lebih pilihan pemain di bahagian sayap.
“Kita mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat Saarvindran selepas membuat penelitian selama dua minggu iaitu ketika beliau menjalani latihan bersama pasukan TFC.
“Saya berharap beliau mampu mempamerkan prestasi hebat seperti mana ketika mewakili pasukan Harimau Muda, Pahang dan JDT ll,” katanya. – BERNAMA