Belang Bertempat

Cybertrooper UMNO perlu sepantas Bossku kilas pembangkang

CEPAT dan pantas sungguh Bossku Datuk Seri Najib Tun Razak pulangkan paku buah keras terhadap Teresa Kok.

Ini menyebabkan bekas menteri industri utama itu terkedu, setelah tak pasal-pasal mempersoalkan
projek Pusat Teknologi Getah bernilai RM100 juta di Jerantut – yang didakwa diumumkan hanya sebulan setelah ahli parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris dilantik sebagai pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Teresa sangkakan hari ini dia boleh lontar apa sahaja tanpa boleh dijawab oleh orang UMNO, seperti mana sewenang-wenang dilakukan DAP dalam setahun dua menjelang pilihan raya umum ke-14.

Ia sehinggakan puluhan cybertrooper UMNO yang dengar katanya diketuai ‘orang jaga media dari PMO’ tempoh hari `lembik habis’ dikerjakan Read Bean Army hingga `kehilangan arah’. Akibatnya, semua maklum Barisan Nasional yang diketuai UMNO tumbang buat kali dalam sejarah pilihan raya umum sejak 1959 (tak ambil kira 1955).

Hari ini pembangkang yang sempat berkuasa 22 bulan berdepan Bosskulah. Fakta yang dibentangkan ringkas tapi padu. Sehinggakan kalau Teresa tak pakai cili pun memang terasa pedasnya.

Dalam hantaran Facebooknya hari ini, dalam menjawab kritikan Teresa, Najib mempersoalkan balik akan beberapa inisiatif di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Ipoh yang diumumkan ketika Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran memegang jawatan menteri sumber manusia.

Najib menunjukkan rancangan untuk membina pusat rehabilitasi bernilai RM500 juta yang bakal menjadi paling besar di Asia Tenggara serta Kaunter Perkhidmatan Rakyat yang dilancarkan sebagai projek perintis di sebuah pasar di kawasan Ipoh Barat .

Jika projek Pusat Teknologi Getah di Jerantut diumumkan hanya sebulan Ahmad Nazlan dilantik, seperti mana didakwa Teresa, bagaimana pula dengan projek diumumkan Kula Segaran itu yang selang dua bulan sahaja selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan pada 9 Mei 2018.

Projek Kaunter Khidmat Rakyat berkenaan dilancarkan sebagai projek perintis di Pasar Kampung Tawas di Ipoh pada 7 Julai 2018 dan katanya akan diperluas ke seluruh negara.

“Memandangkan menteri sumber manusia DAP kerajaan PH dahulu juga ahli parlimen Ipoh Barat, adakah ini juga contoh lantikan politik yang umumkan projek-projek membazir berunsur politik untuk kawasan parlimen sendiri seperti diselar Teresa Kok hari ini?

“Adakah projek-projek di Ipoh Barat oleh ahli parlimen Ipoh Barat dibenarkan tapi projek di Jerantut oleh Ahli Parlimen Jerantut tidak dibenarkan? Apa pandangan Teresa,” demikian kata Bossku.

Najib banyak belajar dari kegagalan cybertrooper yang kononnya menjadi ejen perang saraf untuk UMNO di masa lepas. Kesibukan beliau sebagai Perdana Menteri menjadi aral kepadanya untuk memeriksa `di belakang tabir kewibawaan cybertrooper UMNO’ tempoh hari.

Berkongsi dengan SUARA MERDEKA sebelum ini, kata Najib: “Masa dan tenaga saya fokus untuk memimpin negara, selesaikan masalah rakyat dan sebagainya. Jadi, saya kurang beri perhatian. Itu mungkin saya sedar waktu itu lakukan yang baik sudah cukup, boleh atasi kebatilan, fitnah.
“Namun rupanya tidak, orang tetap termakan fitnah dan lupa kebaikan yang kita buat.”

Cybertrooper UMNO pasca Pilihan Raya Umum ke-13 walaupun terbukti telah gagal, namun terus `digagahkan’ untuk melawan read bean army juak-juak pembangkang. Bahkan, JASA pun bersekali `hanyut’. Data-data lebih kepada `syok sendiri’, membantai dengan cara menjengkelkan. Tiada Big Data, sekadar dengan cakap.

Kini, khabarnya urusan mengendalikan kerja-kerja memastikan survival dan kewibawaan UMNO dalam arus cabaran media sosial, sekali gus di mata rakyat selain menjawab kritikan pembangkang terletak pada Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Masih terlalu awal untuk menilai aspek wibawa, andai kata ada lagi kelaku cybertrooper UMNO yang dulu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan kena jengok-jengoklah selalu hal ini.

Tanda aras atau benchmark nya- kalau tak menyamai tahap Bossku, sekurang-kurangnya
cecah 70 peratus pun dikira okey.

Macam mana nak menilai? Mudah sangat. Kalau `hari-hari’ Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Khalid Samad bantai Bossku, itulah rahsia impak frasa cetusan bekas Perdana Menteri itu – “Malu Apa Bossku”. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button