Nasional

Seorang lagi maut akibat pemandu mabuk

 SEORANG lelaki maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus, dipercayai akibat pengaruh alkohol, di Jalan Pintasan Kuantan, di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Supt Kamarulzaman Jusoh, berkata dalam kejadian jam 9.20 malam itu, mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41,meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.

“Mangsa yang memandu kereta Toyota Yaris difahamkan dalam perjalanan dari rumah di Sungai Isap Perdana ke Gabeng kerana bekerja syif malam sebelum kenderaannya dirempuh sebuah kereta Toyota C-HR yang dipandu melawan arus dan dalam keadaan berbahaya.

“Kereta itu dipercayai mula dipandu melawan arus dari susur masuk Jalan Pintasan Kuantan di Semambu menyebabkannya hampir bertembung dengan beberapa buah kenderaan yang perlu mengelak daripada berlanggar,” katanya semasa dihubungi, BERNAMA hari ini.

Kamarulzaman berkata kereta Toyota C-HR itu dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun dan bekerja sebagai peraih ikan yang dipercayai telah mengambil minuman keras di rumah kawannya di Semambu sebelum kejadian.

Lelaki itu turut cedera ringan di kaki dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk pemeriksaan sebelum direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata mayat mangsa juga dihantar ke HTAA untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas selesai ujian COVID-19.

Ini merupakan antara beberapa siri kemalangan yang berpunca daripada sikap pemandu yang memandu dalam keadaan melulu dan selalunya akibat mabuk.

Pada 3 Mei lalu seorang anggota polis maut selepas sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu pemandu mabuk, merempuh sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS.

Dalam kejadian jam 2.11 pagi itu, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Pada 16 Februari lalu seorang pemandu kereta jenis Ford Fiesta yang memandu secara melawan arus di Kilometer 17.5 Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) berdekatan susur keluar Tol Pajam menghala ke Seremban sehingga mengakibatkan seorang maut pagi tadi disyaki memandu dalam keadaan mabuk. – SM
(Visited 262 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button