Nasional

Cuci duit Macau Scam: Serah diri dengan baik, kita layan dengan baik -SPRM

BEBERAPA individu termasuk selebriti dan ahli perniagaan sedang berada di dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat dengan aktiviti ‘mencuci’ wang sindiket Macau Scam.

Perkara itu didedahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, kesemua yang individu tersebut boleh hadir ke SPRM sebelum dipanggil untuk membantu siasatan.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi siapa (selebriti) yang akan dipanggil tetapi sesiapa yang makan cili mesti terasa pedasnya.

“Mereka yang mungkin pernah menerima (dana sindiket), sila datang kepada SPRM… jika kita panggil sudah tentu ia tidak berapa cantik. Datang pada kita dan kita akan layan dengan baik.

“Kita sudah ada senarai namun kita tidak mahu menggunakan ayat menyerah diri, tetapi mahu guna ayat yang paling lembut iaitu tampil kepada kita,” katanya dalam temu bual secara langsung menerusi slot ‘SPRM 360’ di MACCfm, hari ini.

Menurut Azam lagi, individu tersebut mesti tahu penglibatan mereka kerana wang itu kebiasaannya diserahkan dalam bentuk tunai.

Jelasnya, menubuhkan perniagaan adalah antara cara wang tersebut dicuci dan kita akan siasat ke mana wang itu diserahkan.

“Jenayah pengubahan wang haram ini membabitkan kesalahan seperti menipu, rasuah atau merompak bank, yang mana wang itu perlu di cuci.

“Mereka yang menerima wang itu tidak boleh tidak tahu atau berkata mereka tidak tahu,” jelasnya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button