fbpx


Nasional

Covid-19: Terus perkasa perairan dan perbatasan negara – Raja Muda Perlis

Di saat negara sedang berhadapan dengan ‘Musuh yang luar biasa, tidak boleh dilihat, tidak mempunyai warna dan tidak boleh dirasa’ iaitu penularan Covid-19, pengawalan perairan dan juga sempadan negara masih perlu diperkasakan malah diperketatkan lagi bagi mengelakkan sebarang bentuk pencerobohan, penyeludupan dan memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.

Semua anggota pasukan keselamatan dan agensi-agensi berwajib di sempadan negara yang lain juga dipohon supaya terus menerus mempertingkatkan lagi kawalan dengan penuh berdisplin, cekal dan berintegriti. Pada masa yang sama marilah kita semua sebagai rakyat mendoakan keselamatan dan tidak sekali-kali lupa menghargai jasa mereka yang bertugas di perbatasan yang terus kekal menjadi ‘barisan hadapan’ negara pada sebilang masa.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail apabila dipohon mengulas mengenai keberangkatan baginda mengetuai Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang kini diberi nama ‘Eksesais PERBAH’ ke kawasan operasi keselamatan negara di perairan antarabangsa di timur Sabah saban tahun di bulan Ramadan yang terpaksa dibatalkan pada tahun ini akibat wabak berkenaan.

Pada asalnya segala persiapan rapi telah dibuat untuk baginda dan delegasi Perlis berangkat ke sana pada hujung minggu ini iaitu dari 7-10 Mei 2020.

Gambar Fail

Menurut Penyelaras program, Datuk Zull Aznam Haron, Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah sememangnya dikenali semua kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia sebagai seorang putera raja pewaris takhta yang berjiwa besar dan amat prihatin terhadap pasukan keselamatan dengan mengetuai siri lawatan ke perbatasan tersebut sejak 16 tahun yang lalu diiringi kepimpinan negeri, ketua-ketua jabatan kerajaan serta ahli koperat tanpa mengira penat dan haus di badai ombak bagi menyantuni para pegawai dan anggota bertanya khabar, memberi titah perangsang dan mengurniakan sumbangan kepada mereka yang sedang beroperasi nun jauh daripada ahli keluarga dan sahabat handai untuk tempoh beberapa bulan.


Selain itu, klinik kesihatan, masjid, sekolah dan juga kampung-kampung di kawasan pedalaman turut diziarahi untuk beramah mesra dengan rakyat setempat sambil mengagihkan buah tangan ramadan dan aidilfitri tanda silatulrahim.

Program seliaan Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) ini dilaksanakan secara gantian di sektor Utara dan Selatan Sabah setiap tahun di mana baginda sendiri akan berangkat ke kawasan operasi dengan menaiki bot-bot pasukan keselamatan bagi mengunjungi wira-wira yang sedang bertugas mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

Koordinator Titian Kasih, iaitu Kapten Muhammad Azuan Mohamad Nasir pula memaklumkan bahawa sejak program ini dilancarkan oleh baginda pada tahun 2004 sehingga kini, hampir 40 buah pulau sudahpun baginda jejaki. Hanya pada satu bulan ramadan sahaja sebelum ini baginda ‘bertukar angin’ untuk ke Sarawak bagi melawat Pos JPG Lubuk Antu, Kem Sri Aman, Pos JPG Serikin dan Pos JPG Biawak. Apa yang membanggakan program ini telah mengeratkan lagi hubungan antara Kerajaan serta masyarakat Negeri Perlis dan juga Sabah.

Sebagai penambahbaikan, bermula pada tahun 2016 lawatan ke sekolah-sekolah di bandar-bandar dan juga pedalaman melalui program ‘Titian Kasih Mega YTSP Perlis’ turut dilaksanakan selain kunjungan ke masjid serta kampung berdekatan. Kira-kira RM300,000 telah disalurkan sepanjang program ini dilaksanakan hasil sumbangan para dermawan yang budiman melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan juga YTSP Perlis dan sebanyak 12,500 pelajar telahpun mendapat manfaat diberikan motivasi melibatkan 10 buah sekolah di kawasan Sandakan, Kudat, Semporna, Kota Marudu dan juga Tawau. Antara sekolah yang pernah baginda kunjungi termasuklah SMK Kota Marudu, Kolej Vokasional Sandakan, MRSM Sandakan, SMK Kuhara, SMK Saint Patrick, Kolej Vokasional Tawau dan sebagainya.

Gambar Fail

Bantuan turut disumbangkan kepada hospital dan rumah anak-anak yatim contohnya sumbangan berbentuk kewangan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis untuk pembelian mesin-mesin perubatan di Hospital Tawau, Kudat dan Semporna.

Untuk rekod, sehingga hari ini, antara pulau yang pernah dilawati baginda dan ada sesetengahnya lebih daripada dua kali adalah Pulau Banggi, Jambongan, Tegapil, Bakongan Kecil, Langkayan, Menampilik, Mabul, Siamil, Bohayen, Mantabuan, Berhala, Tabawan, Sibuan, Omadal, Berlian, Tigabu, Danawan, Padanan, Mataking, Sipadan, Kaniogan, Libaran, Selingan, Manawali, Limau-Limau, Mandi Darah, Gaya, Bohey Dulang, Bum Bum, Pamaguan, Pos Singamata, Timbun Mata, Adal, Tigabu, Balambangan dan Sebatik.

Baginda juga pernah melawat Kem Sri Kudat, Tg. Simpang Mengayau, Kem Azumi, Ibupejabat ESSCOM di Lahad Datu, Kg. Tanduo, KM Sri Kudat, Kem Sri Wangsa, FOB Tun Azizan, Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah, Kapal Bunga Mas 5 sempena program ini selain ke Pulau Layang Layang di barat Sabah.

Pada kesempatan yang sama, baginda turut menitahkan ucapan ‘Selamat Berpuasa’ dan seterusnya ‘Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri’ kepada seluruh anggota keselamatan negara yang bertugas di perbatasan dan mendoakan agar negara segera bebas dari segala ancaman termasuklah pandemik Covid-19.

Show More

Related Articles

Back to top button