PERLIS mula bersiap siaga dengan langkah pencegahan ekoran penularan semula wabak Covid-19. Sehubungan itu, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli amat berharap semua pihak lebih peka serta dalam keadaan berjaga-jaga dan berhati-hati.
“Kita tidak mahu wabak ini kembali menular terutama di Perlis,” katanya dalam kenyataan di Kangar hari ini.
Mohd Shukri berkata, pengusaha kedai makanan dan minuman diwajibkan untuk memakai pelitup muka atau ‘face mask’ ketika pengoperasian perniagaan.
“Orang awam pula digalakkan memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam atau kesesakan,” katanya.
Selain itu, katanya lagi, orang awam digalakkan juga supaya sentiasa mencuci tangan dengan bersih atau mengamalkan kembali penggunaan “hand sanitizer” ketika atau selepas berurusan di tempat awam.
Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri sentiasa mengikuti dan memantau perkembangan terbaru berkenaan penularan wabak Covid-19.
“Hal ini berlaku berikutan terdapat pelancong asing dari China yang membawa varian baharu dan dikesan sudah berada di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, terbaharu, juga satu kes kematian disebabkan Covid-19 dilaporkan.
Jelasnya, 38,540 kematian telah dicatatkan DI seluruh negara sejak pandemik ini melanda.
Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri amat prihatin terhadap situasi rakyat yang berhadapan dengan kesusahan dan cabaran ketika penularan wabak ini dahulu. – SM