Nasional

Covid-19: Perdana Menteri bimbang, ingatan buat Sabah

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddn Mohd. Yassin melahirkan perasaan bimbang berikutan peningkatan ketara kes Covid-19 di Malaysia.

Menurut Muhyiddin, sepanjang tempoh 14 hari yang lalu, sebanyak 615 kes baharu telah dicatatkan.

Jelasnya, tiga buah daerah merekodkan 41 kes atau lebih sepanjang tempoh 14 hari yang lepas.

Daerah-daerah yang dikategorikan sebagai merah adalah Kota Setar di Kedah dan Tawau serta Lahad Datu di Sabah.

Tegasnya, Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengenakan Perintah Kawalan Pegerakan Diperketat di kawasan yang mencatatkan peningkatan kes yang ketara.

Justeru, Muhyiddin mengingatkan rakyat terutama di Sabah agar terus berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard.

“Saya juga ingin menasihatkan penduduk di negeri Sabah supaya lebih berhati-hati. Peningkatan kes-kes baharu COVID 19 amat ketara di negeri Sabah, khususnya di daerah Tawau dan Lahad Datu.

“Dalam keadaan negeri Sabah sedang menghadapi Pilihanraya Negeri, saya ingin mengingatkan saudara dan saudari yang berada di negeri Sabah supaya sentiasa mengamalkan norma-norma baharu
kehidupan dengan lebih berdisiplin,” kata Muhyiddin.

Jelasnya, sekiranya kes Covid-19 terus meningkat dengan mendadak dan PKP terpaksa dilaksanakan
semula akibatnya  amat buruk kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

“Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuat kuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini. Na’uzubillah.

“Justeru, saya berharap kita semua akan terus cekal, tabah dan berdisiplin dalam menghadapi penularan wabak COVID-19. Ingatkan diri kita supaya terus membudayakan amalan norma-norma baharu kehidupan.

“Selain tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan, amalan norma baharu kehidupan oleh saudara dan saudari sekalian adalah faktor yang amat penting dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian
jangkitan COVID-19,” kata Muhyiddin.

Secara keseluruhannya terdapat 108 kluster yang telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre atau CPRC Kebangsaan. Daripada jumlah ini 11 kluster masih aktif manakala baki 97 kluster telah diisytiharkan tamat.

Seramai 1,395,578 individu telah disampel menjadikan kadar ujian Covid-19 yang dijalankan di Malaysia adalah 41.8 orang bagi setiap 1,000 penduduk.

Sehingga 15 September jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah seramai 9,969 orang.

Daripada jumlah itu 9,209 kes telah sembuh dan discaj daripada wad menjadikan kadar kesembuhan sebanyak 92.4 peratus

Sementara 128 kes telah dilaporkan meninggal dunia menjadikan kadar kematian sebanyak 1.28 peratus.-SM

 

 

(Visited 115 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button