KEJOHANAN badminton Terbuka Thailand baru sahaja berakhir, semalam dan pertandingan itu merupakan kejuaraan sulung yang diadakan, musim ini sejak pandemik Covid-19 melanda dunia.
Pada tahun lalu, semua pertandingan badminton dibatalkan dan dalam tempoh itu jugalah bagi pemain yang berstatus profesional, mereka terputus punca pendapatan.
Masalah itu diakui sendiri oleh beregu lelaki negara, Goh V-Shem-Tan Wee Kiong yang secara terbuka menceritakan pergelutan mereka menyara keluarga setelah banyak pertandingan dibatalkan pada musim lepas.
Sebaik tirai 2021 dibuka, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bertindak lebih berani dan agresif apabila menganjurkan kejohanan pertama pada ketika pandemik Covid-19 masih mengganas menyerang penduduk dunia.
Keputusan nekad itu dibuat, maka kejohanan badminton Terbuka Thailand yang berstatus Jelajah Dunia Super 1000 berjaya dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang masalah di Bangkok.
Malaysia turut menghantar wakil termasuklah pemain bebas negara yang terdiri daripada V Shem dan Wee Kiong, Teo Ee Yi, Ong Yew Sin, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying serta Liew Daren.
Bagi pemain-pemain ini, kejohanan Terbuka Thailand menjadi penyelamat buat mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Lebih-lebih lagi buat V Shem dan Wee Kiong yang berjaya mara sehingga ke perlawanan akhir kejohanan tersebut.
Sekalipun sekadar muncul sebagai naib juara setelah tewas kepada pilihan keenam, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan 16-21, 23-21, 19-21, kejayaan itu membolehkan V Shem-Wee Kiong membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$35,000 (RM141,187).
Bagi pemain yang gagal ke final, mereka tetap dibayar berdasarkan sejauh mana mereka melangkah. Jadi, sekurang-kurangnya ada bayaran yang masuk apabila membuat penampilan pada pertandingan itu.
Seperti kata Wee Kiong, sebagai pemain bebas, mereka perlu menguruskan sendiri banyak perkara.
“Syukurlah penaja terus memberikan sokongan kepada kami, terutama Yonex dan Top Glove,” kata Wee Kiong yang dipetik kenyataannya menerusi laman web BWF.
V Shem pula memberitahu, tahun lalu sangat sukar kerana mereka tiada pendapatan langsung.
“Kami terpaksa menyara diri sendiri dan juga keluarga, apa yang menjadi persoalan bagaimana kami mahu menguruskannya,” ujarnya.
Pengakuan itu sudah cukup memberi gambaran pergelutan atlet yang berstatus profesional pada ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.
Bukan sahaja kehidupan atlet turut terjejas, tetapi banyak kejohanan terpaksa dibatalkan.
Rata-rata atlet terpaksa mengekalkan tahap kecergasan mereka dengan berlatih di rumah. Bukan mudah sebenarnya untuk berbuat demikian, terutama bagi atlet berprestasi tinggi.
Terbuka Thailand yang menjadi pertandingan pertama dianjurkan semasa Covid-19, turut mengalami proses perubahan tersebut.
Corak penganjuran jauh berubah berbanding ketika sebelum pandemik. Penjarakkan sosial terpaksa diterapkan, selain ujian Covid-19 atau swab test dari semasa ke semasa wajib dilakukan ke atas pemain bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Kerajaan Thailand, begitu tegas dalam melaksanakan langkah pencegahan Covid-19.
Ujian Covid-19 terpaksa dilalui pemain sekerap tiga hingga keempat hari sekali untuk pengesanan awal bagi memastikan atlet dan pasukan mereka bebas daripada virus tersebut sepanjang pertandingan berlangsung.
Ekoran terlalu kerap swab test dibuat, maka berlaku insiden kecil yang menimpa jaguh perseorangan lelaki India, Kidambi Srikanth yang mengalami pendarahan hidung selepas ujian kali ketiga diambil.
Kejadian itu memaksa pemain tersebut menarik diri daripada pusingan kedua Terbuka Thailand dan wakil Malaysia, Lee Zii Jia menerima manfaat daripada insiden yang menimpa pencabarnya itu apabila diberi kemenangan percuma untuk terus mara ke suku akhir.
Selain insiden yang menimpa Srikanth, kemenangan yang diraih beregu wanita Indonesia, Greysia Polii bersama pasangannya Apriyani Rahayu yang menundukkan beregu tuan rumah, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-15, 21-12 terselit kisah sedih.
Pemain berpengalaman, Greysia baru sahaja kehilangan abangnya, Rickettsia Polii, hujung Disember lalu dan sewaktu dia terbang ke Thailand, dirinya bukan sahaja masih dalam kesedihan, tetapi turut bimbang kerana ibunya dijangkiti coronavirus.
Pandemik yang melanda ternyata telah banyak mengubah landskap dunia, termasuklah kejohanan-kejohanan antarabangsa yang dianjurkan.
Pengalaman berbeza yang terpaksa diharungi atlet akibat pandemik juga, telah menjadikan industri sukan berlangsung dalam keadaan sedikit suram tanpa kehadiran penonton.
Terbuka Thailand berlangsung tanpa kehadiran penonton yang biasanya memeriahkan suasana, malah, upacara penyampaian hadiah juga menyaksikan atlet terpaksa menyarung medal ke leher sendiri gara-gara penjarakkan sosial.
Diharapkan segala kesukaran serta keperitan ini akan beransur pergi dan penduduk dunia dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.
Cuma tiada siapa yang mampu menjawab bilakah detik itu akan menjelma. – SM