Nasional

COVID-19: Mengapa PKP perlu diteruskan?

DALAM satu laporan dari Bank Negara Malaysia yang disiarkan pada 3 April lalu, ekonomi negara hanya beroperasi pada kapasiti 45 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini bermakna sepanjang tempoh PKP telah memberikan kesan ekonomi yang serius kepada kehidupan kita semua.

Masalah ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di 200 buah negara dan wilayah yang lain di serata dunia. Bahkan dunia kini boleh dianggap seperti berada di medan peperangan melawan musuh yang sama iaitu COVID-19.

Premis perniagaan serta segala kegiatan ekonomi yang berkait dengan kehidupan kita telah terjejas dan tidak dapat beroperasi seperti biasa. Memandangkan hal ini, ada pihak yang mula mempersoalkan, adakah perlu PKP ini diteruskan sebagaimana yang baru diumumkan pada 10 April yang lalu? Bagaimana dengan nasib para pekerja jika PKP diteruskan? Adakah yang akan diberhentikan kerja atau mungkin ada peniaga yang sudah mula menggulung tikar?

jalan alternatif

Ada yang mahukan kaedah PKP ini diubah kepada perlaksanaan PKP secara kawasan yang terbabit sahaja iaitu dengan mensasarkan kepada kawasan yang dijangkiti secara spesifik.

Apa yang dimaksudkan ialah jika kawasan itu merupakan ‘Red Zone COVID-19’ maka hanya kawasan itu sahaja yang perlu mengamalkan kaedah PKP manakala kawasan lain mendapat kelonggaran supaya aktiviti ekonomi dapat diteruskan seperti biasa.

Pandangan ini mungkin berdasarkan pada kedudukan Malaysia yang terus mencatatkan penurunan kedudukan dalam senarai negara-negara dijangkiti pandemik coronavirus (COVID-19) terbanyak di seluruh dunia .

Dalam laporan terkini yang disiarkan pada 5 April lalu, Malaysia menduduki tangga ke-30 berbanding tangga ke-17 pada pertengahan bulan Mac lalu. Ini merupakan satu kejayaan dan diharapkan kedudukan negara kita akan terus turun dalam senarai ini.

Kedudukan terkini itu membuktikan bahawa usaha keras Malaysia membendung pandemik COVID-19 melalui inisiatif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mula menampakkan hasil yang positif.

Sebenarnya sebelum pengumuman dibuat pada 10 April lalu untuk menyambung tempoh PKP, sebahagian besar masyarakat Malaysia sudah bersedia untuk terus “berkurung” selama dua minggu lagi.

Benar, isu kebosanan serta kebimbangan tentang masa depan pastinya bermain di dalam kepala masing masing. Ada yang bimbang tempoh PKP mungkin akan diteruskan lagi sehingga ke bulan Mei.Tentunya mereka terus runsing dan mula berfikir lagi tentang masa depan kerjanya.

Apatah lagi apabila mereka mendengar berita dari seluruh negara yang sebahagian besarnya menunjukkan bagaimana sebuah negara maju juga menyebabkan ribuan malahan jutaan rakyatnya yang bakal kehilangan kerja.

Lihat sahaja di Amerika Syarikat (AS), dalam tempoh tiga minggu sahaja, 16.8 juta penduduk AS telah memohon untuk mendapatkan faedah pengangguran. Manakala penganalisis ekonomi AS mengukuhkan lagi unjuran bahawa kadar pengangguran akan mencecah 20 juta pada bulan ini.

Namun apabila memikirkan risiko jika perintah ini diberhentikan, barulah kita sedar mengapa PKP harus disambung.

Mungkin kita perlu ambil iktibar dari apa yang berlaku di Hong Kong.Itu sebabnya saya tertarik dengan kenyataan Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Malina Osman.

Dr. Malina Osman

Beliau memberi amaran, lengkuk statistik jangkitan kes COVID-19 di Malaysia mampu kembali meningkat mendadak seperti Hong Kong sekiranya kerajaan tidak mengambil ikhtibar daripada pendekatan negara itu yang melonggarkan serta-merta pelaksanaan PKP sebaik sahaja angka jangkitan kes dicatatkan mula mendatar.

Ini merupakan satu saranan yang baik. Perlu diingatkan bahawa masih ramai lagi pesakit di negara kita yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi dan perkara ini tidak boleh membuatkan kita mengambil mudah akan masalah yang sedang berlaku ini. Itu sebabnya kita sebagai rakyat Malaysia perlu memenangi peperangan ini agar kita dapat bersama-sama bangkit dan kembali meneruskan kehidupan kita.

Ramai ahli ekonomi dan golongan profesional yang berasa yakin jika COVID-19 ini dapat dikekang dan diatasi, pastinya ini akan memberi kesan yang positif kepada pertumbuhan ekonomi pada masa depan.

Mungkin pertumbuhan itu akan bergerak dalam kadar yang perlahan tetapi kita dapat kembali hidup seperti biasa dan bersama-sama mengharungi segala masalah yang timbul kelak.

Apa yang penting ialah negara kita memerlukan rakyat yang sihat untuk melakukan semula pelbagai aktiviti ekonomi dan melaksanakan segala urusan yang berkaitan dengan kehidupan kita.

Kita tidak boleh tewas dalam peperangan ini dan semuanya terpulang pada kita untuk sama-sama meneruskan perjuangan ini. –

Artikel Oleh SHAHBUDIN HAJI EMBUN, Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundingan Melayu – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button