fbpx
Rencah Hidup
Trending

Tak sangka ada manusia hidup begini, ya Allah maafkan kami – Ebit Lew

KEHIDUPAN serba daif seorang warga emas berketurunan Minang tersingkap apabila pendakwah Ebit Lew mengunjungi rumahnya pagi tadi untuk menyampaikan bantuan.

Ketika dikunjungi, rumah wanita tua yang kurang daya ingatan sejak setahun lalu itu penuh najis dan kotoran.

Wanita tersebut juga tidak lagi mempunyai keupayaan fizikal, Dia tinggal seorang diri sejak 15 tahun lalu selepas suaminya meninggal dunia.

Ruang tamu rumah wanita itu hanya mempunyai perabut lama dan usang. Langsir pintu dan tingkap sudah kotor dan tidak dibasuh sekian lama. Lantainya hanyalah beralaskan simen.


Keadaan bilik tidur warga emas itu juga sangat daif. Tilamnya yang tidak mempunyai cadar telah koyak, hitam, berdaki dan lusuh. Tikar getah dalam bilik itu juga sudah koyak dan reput.

“Terkejut sekali buka pintu satu rumah bau najis. Semua tak tahan baunya. Kasihan makcik ini. Saya cuba tanya nak bawa rumah kebajikan. Makcik ni tak nak.

“Rumah tak ada air. Tangki tersumbat. Dah lama tak mandi. Dah tak ada sesiapa. Ya Allah sedihnya hati ini. Tak sangka ada manusia hidup begini. Betul-betul terbiar. Ya Allah maafkan kami semua,” rintih Ebit.

Menurut Ebit, wanita tua itu bagaimanapun bernasib baik kerana mempunyai jiran yang dikenali sebagai Kak Ros Rela yang sering mengunjunginya dan membelikan makanan.

“Insya-Allah Kak Ros Rela ini dah ajak beberapa orang jiran nak bersihkan sekarang. Syukur jiran-jiran semuanya membantu.

“Saya tengah cari nak pergi beli tangki, katil , tilam, lampu mentol, peti ais, dan panggil skuad nyah kuman datang. Nak belikan barang mandi. Makcik tu cuma minta selipar jer. Sedihnya,” kata Ebit Lew.

Tidak sampai pun lapan jam berjanji untuk menolong, petang tadi Ebit datang sekali lagi ke rumah wanita tersebut. Kali ini dia membawa katil, tilam dan cadar baru.

Beliau turut membelikan peti ais, periuk nasi dan cerek air untuk digunakan oleh wanita tua itu. Tangki air dan paip yang tidak lagi berfungsi juga sudah dibaiki dan ditukar baru. Rumah wanita uzur itu juga telah dibersihkan dengan pertolongan Kak Ros Rela dan jiran-jirannya.

“Kak Ros Rela mandikan makcik ini. Potong kuku dan wangikan. Guntingkan rambut. Cantik sangat dah. Senyum lebar makcik ini. Makcik tiba-tiba nak berwuduk nak solat. Terkejut dengar.

“Jemput kami raya rumah. Masa pakai selipar baru senyum. Satu selipar lagi simpan pakai hari raya kata makciknya. Syahdu dengar. Ni baju raya makcik. Masak rendang untuk saya makcik. Makcik tak pandai masak rendang katanya,” cerita Ebit.

Menurut Ebit, Mak Cik tersebut suka bercerita dan keadaannya jauh berbeza berbanding pagi tadi. Senyuman perempuan tua itu kini mengubat hati Ebit yang pedih melihat kedaifannya pagi tadi.

“Jiran-jiran terutama Kak Ros rela akan gilir-gilir membantu makcik ini. Kami dah ganti tombol supaya Ros boleh sentiasa tengok keadaan makcik ini. Senang keluar masuk rumah. Terima kaseh semua yang terlibat. Semoga Allah terima semuanya,” kata Ebit.

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button