NasionalUncategorized

Covid-19 : Malam Kilauan Cahaya Istana Arau 2020 Dibatalkan – Raja Muda Perlis

MALAM Kilauan Cahaya (MKC) Istana Arau bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada tahun ini adalah dibatalkan.

Keputusan tersebut diputuskan bagi menjunjung titah perintah Tuanku Raja Perlis agar program-program keramaian yang diaturkan bersempena ‘Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-77’ pada 17 Julai ini adalah dibatalkan bagi memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk menggunakan sewajarnya peruntukan tersebut bagi manfaat rakyat jelata negeri ini yang benar-benar terkesan kehidupan mereka akibat daripada penularan wabak pandemik Covid-19.

Gambar Fail

Malam Kilauan Cahaya yang dijadualkan pada 24 dan 25 Julai 2020 pada asalnya telah dirancang untuk dilaksanakan dengan lebih meriah lagi pada kali ini bagi menyambut genapnya ‘2 Dekad Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Pemerintah Bagi Negeri Perlis’.

MKC tahun ini juga diatur sebagai salah satu program sampingan untuk 3,000 lebih para peserta dari dalam dan juga 24 buah negara luar yang bertandang ke negeri ini bagi mengambil bahagian dalam ‘Pertandingan Woodball Piala Dunia (WCWC) Perlis 2020’ yang turut juga sudah ditunda tarikhnya ke tahun hadapan serta beberapa kejohanan lain yang dianjurkan pada masa yang sama.

Gambar Fail

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menitahkan agar segala persiapan rapi yang telah dibuat oleh jawatankuasa penganjur bagi tahun ini dibawa ke tahun hadapan jika keadaan masih membenarkan pada ketika itu untuk penganjuran berskala besar, dengan menambah SOP baharu serta mengambil kira aspek langkah pencegahan dan berjaga-berjaga yang sebelum ini tidak termasuk dalam mana-mana SOP penganjuran bagi memastikan ianya lebih meriah, selamat dan sentiasa menjadi tarikan lagi di Istana Arau hari ini.

Pembatalan MKC ini juga adalah selari dengan saranan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia agar tiada sebarang program yang mengumpulkan terlalu ramai orang dalam satu kawasan diadakan dalam tempoh 6 ke 9 bulan bagi memastikan rantaian jangkitan wabak Covid-19 terhenti dan rantaian jangkitan benar-benar dapat diputuskan.

Gambar Fail

Setiausaha Sulit Tuanku Raja Muda Perlis, Zaharin Haris yang diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi penganjuran MKC menambah bahawa saban tahun, Malam Kilauan Cahaya Istana Arau yang mana tarikhnya adalah sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat jelata akan menyasarkan kunjungan orang awam dalam lingkungan seramai 25,000 ke 30,000 orang pengunjung yang berpusu-pusu datang dari jauh dan dekat bersama kaum keluarga bagi melihat sendiri lampu-lampu hiasan istana yang serba indah dengan tema yang berubah-ubah setiap tahun termasuk beberapa pameran dan juga selingan hiburan menarik yang dipersembahkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Malam Kilauan Cahaya Istana Arau yang terhasil daripada cetusan idea Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis juga bertujuan untuk mendekatkan lagi rakyat jelata dengan institusi DiRaja Perlis sesuai dengan slogan ‘Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada’ apabila para pengunjung juga berpeluang memasuki perkarangan Dataran Istiadat Istana disamping melawat Galeri DiRaja Arau yang mempamerkan segala sejarah, perkakasan istiadat dan koleksi peribadi beberapa generasi pemerintahan DiRaja susur galur Jamalullail. MKC juga merupakan salah satu daya tarikan pelancongan yang merancakkan lagi sektor ekonomi negeri Perlis secara kecilan apabila pengunjung daripada luar negeri Perlis juga turut hadir beramai-ramai memeriahkan program ini.

Untuk rekod, jumlah pengunjung Malam Kilauan Cahaya Istana Arau pada tahun lepas adalah seramai 25,512 orang, pada tahun 2018 adalah seramai 33,380 orang dan pada tahun 2017 pula adalah seramai 24,935 orang. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button