COVID-19: Jika tenat tidak dibenarkan keluar wad untuk mengundi
Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan membenarkan pesakit yang tenat dijangkiti virus Covid-19 keluar daripada wad untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Chini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham sebaliknya berkata, pihaknya dan dan agensi berkaitan akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan pesakit yang dikuarantin mengundi.
“Kita akan melihat senarai kes COVID-19 sama ada yang sedang menjalani kuarantin atau ditahan di wad kerana berada dalam keadaan tenat.
“Jika tenat, mungkin kita tidak akan membenarkan keluar wad untuk mengundi.
“Maka, kita mengadakan SOP khas yang akan diteliti kementerian dan pelbagai agensi sebelum ia dilaksanakan,” katanya pada sidang media harian COVID-19 hari ini.
BACA SPR sedia khemah khas dalam PRK Chini
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini dilaporkan akan menyediakan khemah khas di setiap 13 pusat mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini.
Pakaian perlindungan diri (PPE) kepada petugas serta pesakit COVID-19 yang bakal mengundi di pusat mengundi juga disediakan pada PRK Chini yang dijadual berlangsung pada 4 Julai depan.
Persediaan itu meruapakan solusi kepada normal baharu yang perlu diadaptasi ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.-SM