Nasional

Covid-19: Jika kata Malaysia gagal, UK dan Belanda juga gagal – Tengku Zafrul

Jika ada pihak yang melemparkan cemuhan mengatakan Malaysia gagal kerana peningkatan kes jangkitan Covid-19 hal sama boleh diperkatakan terhadap kebanyakan negara dunia yang bergelut dengan gelombang virus tersebut.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kadar peningkatan kes bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi di United Kingdom dan Belanda.

“Peningkatan kadar jangkitan bukan hanya di Malaysia. United Kingdom (UK) dengan 67 juta penduduk, menyaksikan kadar jangkitan harian meningkat kepada lebih 50,000 kes.

“Belanda dengan populasi hanya 17 juta pula, mencatatkan lebih 11,000 kes sehari,” kata Tengku Zafrul dalam Laporan Agensi Pelaksana Ekonomi dan Kordinasi Strategik Nasional (Laksana) ke-62 yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, dengan pendekatan agresif negara menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Malaysia mampu untuk mencapai imuniti kelompok lebih pantas.

Related Articles

Negara menyasarkan 100 peratus penduduk dewasa divaksin pada Oktober depan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin baru-baru ini.

Beliau turut menjadikan Labuah sebagai contoh kejayaan negara mengekang penularan jangkitan di satu-satu lokaliti.

“Jika sebelum ini dilabel sebagai satu zon merah dengan kadar R-Naught melangkaui 2.4 — lebih tinggi daripada paras kebangsaan, Labuan kini melonjak di kacamata nasional kerana telah berjaya mengurangkan kes jangkitan dan kini mencatatkan kadar R-Naught 0.77.

“Program imunisasi adalah kunci kepada kejayaan Labuan. Sehingga kini, lebih 90% penduduk Labuan telah divaksinasi dan hampir 65% telah menerima dos kedua,” jelas beliau.

Tambah beliau, hasil keberkesanan program vaksinasi dapat dilihat dari statistik kes harian seluruh Malaysia dari tujuh hari lalu iaitu 98 hingga 99 peratus kes Covid-19 adalah kategori 1 dan 2 iaitu sama ada tidak bergejala atau hanya bergejala ringan.

Malah dari hampir 256,000 petugas kesihatan yang telah lengkap divaksinasi, hanya 1.4 peratus atau 3,465 orang sahaja dijangkiti.

“Dari jumlah itu, 3 orang di Kategori 3 dan 3 lagi di Kategori 4. Tiada dalam Kategori 5. Ini menunjukkan keberkesanan vaksinasi.

“Di Malaysia secara keseluruhannya, selaras dengan peningkatan kadar vaksinasi, kita juga dapat melihat
pengurangan kes serius dari Kategori 4 dan 5 serta penurunan hospitalisasi yang melibatkan warga emas.

Katanya, Kerajaan akan mengukuhkan strategi bagi mengawal wabak COVID-19 secara holistik dengan memberi fokus kepada faktor-faktor seperti kadar aktiviti/pergerakan; kadar dan tempoh kebolehjangkitan; populasi berisiko dan pengukuhan kapasiti sistem kesihatan awam.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button