Ekonomi

Hextar Global sertai konsortium mohon lesen bank digital

HEXTAR Global Bhd menandatangani perjanjian konsortium dengan Arcadia Acres Sdn Bhd dan Ihsan Equity Sdn Bhd untuk mengemukakan permohonan lesen bank digital daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Konsortium itu dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, langkah itu adalah julung kalinya ketiga-tiga pihak berkenaan bekerjasama dengan setiap rakan kongsi bagi menyumbangkan kepakaran dan platform uniknya yang tersendiri untuk menubuhkan bank digital patuh Syariah.

Konsortium itu juga dijangka disertai agensi pembangunan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menaik taraf dan menambah baik golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negara ini, tambahnya.

Pengarah Eksekutif Hextar Global, Datuk Eddie Ong Choo Meng, berkata Arcadia telah menyediakan cadangan komprehensif, yang menetapkan satu pelan tindakan jelas untuk menggalakkan inklusi dan literasi kewangan terutamanya dalam kalangan golongan yang tidak diberikan perkhidmatan yang sepatutnya menerusi bank digital.

Menurutnya, syarikat itu berhasrat untuk berkembang ke bidang ekonomi digital yang akan melengkapkan perniagaannya pada masa kini.


“Dengan platform lapan entiti yang tersenarai dalam kumpulan syarikat Hextar yang lebih besar yang terbabit dalam pelbagai industri seperti telekomunikasi, logistik dan produk pengguna, kami dapat menyediakan akses kepada lapisan ekosistem yang berkembang maju yang boleh dimanfaatkan oleh bank,” katanya.

Pengarah Urusan Arcadia, Zainal Abidin Abd Jalil, berkata pembabitan dan pengalaman luas syarikat itu dalam projek kerajaan kerajaan yang membabitkan teknologi digital dan biasa beroperasi dalam persekitaran yang dikawal selia ketat adalah menerusi syarikat pelaburannya iaitu Dagang NeXchange Bhd dan Theta Edge Bhd.

“Ini memberikan kami kepakaran untuk memahami keperluan dan membina infrastruktur optimum bagi bank berdasarkan teknologi canggih utama,” katanya. -BERNAMA

(Visited 37 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button