Nasional

COVID-19: Jangan bagi muka, tangkap mereka…

KOMENTAR

JANGAN bagi muka kepada individu atau kumpulan yang mencabar pihak berkuasa ketika membendung penularan Covid-19.

Tangkap sahaja mereka semua.

Kerajaan sedang serius mengejar masa untuk membendung merebaknya wabak COVID-19.

Masa semakin singkat. Sepi yang mencengkam (melalui penguatkuasaan PKP) membawa aku (sesiapa pun) ke `lembah berduri’ (sengsara ekonomi/kos hidup).

Kalau bolehlah, perintah kawalan pergerakan yang dipanjangkan dua minggu lagi ini hingga 14 April harap sangat tidak lagi disambung. CUKUP!

Pasukan keselamatan polis dan tentera kita bekerja siang malam. Tak mengira hujan panas terik. Ini demi memastikan orang tidak keluar rumah sesuka hati.

Itu belum lagi barisan hadapan ahli-ahli perubatan kita. Mereka hanya sejengkal sahaja ke garis kematian. Bila-bila masa boleh dijangkiti.

Tapi malangnya ada segelintir orang kita yang buat `tak reti bahasa’.

Yang `herannya’, baru sahaja Nursahira Mohd Mizuar, 20, dari Alor Setar didenda RM10,000 dan penjara tiga bulan kerana muat naik status di media sosial miliknya menghina polis yang lakukan pemantauan Ops COVID-19, tiba-tiba kelaku macam itu berulang.

Di Petaling Jaya, hari sama semalam Nursahira dijatuhi hukuman oleh mahkamah, seorang lagi wanita, kali ini berusia 30-an keluarkan kata-kata kesat terhadap pihak berkuasa yang menjalankan sekatan jalan raya (SJR) Ops COVID-19. Kejadian dilaporkan di Jalan Persiaran Surian, Damansara.

“Apabila dia sampai ke lokasi, dia menjerit ke arah petugas ‘you all are idiots’,” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Syabas! Syabas! Syabas! Suara Merdeka ucapkan buat pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertindak tegas terhadap pelaku-pelaku pelanggar PKP ini.

Yang main sepak takraw dan berkelah kena. Yang joint ‘private party’ kena. Yang
mahu pergi rumah rakan untuk beri resipi kena. Yang hendak hantar beras ke rumah mentua kena.

Apatah lagi yang lemparkan kata-kata nista, kesat terhadap polis dan tentera pun kena…kena penjara lagi. Padan muka.

Nursahira sudah kena. Wanita yang buat onar sama di Jalan Persiaran Surian itu pun bakal kena.

gadis

COVID-19 tidak pernah dialu-alukan ke negara ini. Tapi apa nak buat. Sekebal mana pun
pintu negara, tidak mampu menahan penyebaran pandemik ini.

Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei punca coronavius ini pun sudah bebas sepenuhnya. Mengorbankan kira-kira 3,800 mangsa tetapi yang menjangkitinya, Itali, Sepanyol dan Amerika Syarikat menanggung azab lebih pedih. Angka korban di tiga negara ini sahaja kini sudah melebihi 20,000 orang.

Bukan sedikit penanggungan derita akibat covid ini.

Dari anak-anak, orang tua kita, pekerja kilang, kakitangan kerajaan sehinggalah ke orang-orang terkaya dunia, Jeff Bezos, Bill Gates dan Bernard Arnault semuanya kena tempias.

Kais pagi makan pagi, kais petang makan petanglah kita andai wabak ini berterusan dua tiga bulan lagi. Berpuluh-puluh bilion dolar rugi, ekonomi dunia pun merudum.

Di negara ini, polis, tentera jangan bagi muka kepada pelanggar PKP.

Masa sedang berjalan. Moga-moga tidak disambung perintah kawalan ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button