COVID-19: FAM minta semua pihak akur saranan FIFA
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta semua pihak berkepentingan akur dengan garis panduan yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam menangani impak ekonomi terhadap industri bola sepak susulan pandemik COVID-19.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam percaya garis panduan FIFA itu mampu meleraikan kekusutan dihadapi pihak berkepentingan terutama melibatkan faktor kewangan.
“Untuk mana-mana pasukan yang mahu mengadakan perbincangan (bersama pemain dan pegawai), mereka boleh berbuat demikian tanpa ragu-ragu memandangkan ia sudah termaktub dalam garis panduan FIFA.
“Kami menggesa semua pasukan agar memahami langkah digariskan oleh FIFA dalam memastikan keputusan yang diambil secara bersama dengan pemain dan pegawai dilakukan secara profesional dan telus,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan badan induk bola sepak negara itu hari ini.
Pada Selasa, FIFA mengeluarkan pekeliling bertajuk Isu Terhadap Peraturan Bola Sepak FIFA COVID-19 yang mengandungi empat perkara utama, antaranya mengenai Perjanjian Yang Tidak Dapat Dilaksanakan Seperti Dijangkakan dan Tempoh Pendaftaran melibatkan jendela perpindahan pemain.
Di bawah Perjanjian Yang Tidak Dapat Dilaksanakan Seperti Dijangkakan, FIFA mengeluarkan prinsip bimbingan yang menggalakkan kelab dan pemain untuk membuka jalan kepada rundingan dalam mencari kata sepakat sepanjang krisis ini, termasuk cadangan penstrukturan penggajian sementara.
Justeru, FAM berharap kesemua pemain, pegawai 14 ahli gabungan FAM dan 24 rakan kongsi MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dapat mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan semua pihak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut kenyataan itu, perjanjian bersama antara pasukan dan pemain serta pegawai perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya 22 April depan, namun perkara ini boleh dirujuk kepada FAM untuk tindakan susulan sekiranya perjanjian bersama gagal dicapai sehingga tarikh tersebut.
Sementara itu, Stuart tidak menolak kemungkinan situasi semasa juga menuntut FAM mengambil tindakan di luar kebiasaan dengan mengambil kira kemungkinan PKP yang dijadual berakhir 14 April ini, dilanjutkan.
”FAM sudah tentu mahu mengelak keadaan di mana pemain dan jurulatih terus dibayar gaji mengikut terma-terma sedia ada tetapi majikan mereka berdepan kekangan kewangan yang memungkinkan mereka ‘lingkup’ dalam jangka pendek dan sekali gus mengakibatkan kehilangan pekerjaan bagi banyak pihak,” katanya.
Stuart menegaskan keputusan FAM sebagai badan induk tidak harus disalah tafsirkan kerana kebajikan pemain dan pegawai tetap menjadi keutamaan dalam apa keadaan sekalipun. – BERNAMA