RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya syarikat lain di negara ini mencontohi McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) yang berusaha menyantuni masyarakat yang kurang berkemampuan.
Titah Baginda, ini kerana usaha membantu golongan kurang berkemampuan seperti anak yatim dan golongan asnaf merupakan satu kewajipan bagi yang berkemampuan khususnya syarikat korporat besar.
“Diharap juga usaha ini dapat dilakukan secara berterusan bagi membantu juga ekonomi negeri ini terutama dari segi penyediaan peluang pekerjaan dan kemahiran,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian pada Program Kayuhan dan Penyerahan Pek Kembali Sekolah kepada pelajar sekolah di sekitar negeri ini.
Berkenan berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turur hadir Pengarah Urusan dan Rakan Operasi McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Sementara itu, Azmir berkata, pihaknya telah membelanjakan sejumlah RM250,000 bagi pemberian Pek Kembali Sekolah yang mengandungi set alat tulis, buku latihan dan botol air kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh Perlis.
Katanya McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia turut menghulurkan sumbangan set kelengkapan bilik tidur berupa tilam, bantal dan cadar baharu bernilai RM15,000 kepada Teratak Rahmat Persatuan Al Islah Perlis bagi kegunaan anak yatim di pusat tersebut.
Azmir yang juga Presiden RMHC Malaysia berkata, inisiatif kemasyarakatan itu merupakan teras McDonald’s Malaysia bagi mewujudkan impak positif kepada rakyat, lebih-lebih lagi komuniti di sekitar operasi cawangannya. – SM