Rencah Hidup

Ciuman terakhir buat adik Khaleel Islam

Panggil Abi dan Ummi di pintu syurga

SEDIH membaca catatan yang dikongsi oleh Ehafizuddin Musa Apihje di Facebook semalam yang diberi tajuk Ciuman Terakhir yang ditujukan buat anak kesayangan, Khaleel Islam.

Menurut Ehafizuddin, beliau dan isteri, Ara Zali berkesempatan mengucup dahi anak syurga, Khaleel Islam yang telah pulang ke rahmatullah hari ini.

Berita kembalinya allahyarham adik Khaleel Islam disiarkan di kaca televisyen, berita perdana hari ini.

Berbalik kepada catatan Ehafizuddin yang membahasakan dirinya sebagai Abi dan isterinya, Ummi, kedua suami isteri ini reda dengan pemergian Khaleel Islam.

“Sudilah sedekahkan bacaan AlFatihah untuk anak ku Khaleel Islam bin Mohamad Ehafizuddin yang telah kembah kerahmatullah.

“Sesungguhnya adik Khaleel ini penghuni syurga. Yang pasti akan berbakti kepada orang tuanya kelak. Adik panggillah Abi dan Ummi nanti di pintu syurga.

“Abi dan Ummi akan tunggu panggilan adik,” catat Ehafizuddin.

Ehafizuddin turut menzahirkan catatan, terima kasih Allah pinjamkan rezeki yang tidak ternilai ini.

Tulis Ehafizuddin lagi, selama setahun dua bulan 29 hari beliau dan isteri serta anak sulung pasangan ini, Dhuha, sangat gembira dengan kehadiran adik Khaleel .

“Kami pasti akan rindu semua gelagat adik. Besar ujian ini Dik tapi Abi dan Ummi reda dengan pemergian adik dan yakin dengan gada’ dan gadar Allah,” ujar Ehafizuddin.

Menurut siaran berita televisyen, adik Khaleel dikatakan jatuh dari katil dalam posisi terlentang.

Kepala adik Khaleel dikatakan mengalami pendarahan dalaman dan dibawa ke hospital.

Insiden jatuh katil, menurut berita TV yang sama, dinyatakan oleh pengasuh arwah adik Khaleel.

Sebenarnya, anak-anak kecil dalam usia setahun ke atas, perlu dipantau kerana mereka aktif, cergas dan pantas dalam pergerakan.

Keaktifan mereka bermain, berlari di dalam rumah, memanjat, melompat termasuk melompat di atas katil adalah satu keseronokan buat anak-anak kecil.

Sebagai penjaga atau pengasuh, tidak boleh lalai atau leka kerana anak-anak ini, mungkin terjatuh. Kalau perlu dilarang, laranglah.

Jangan sampai nasi menjadi bubur, menangis keluar air mata darah sekalipun, tidak berguna.

Bersabar dan tabahlah wahai Abi dan Ummi kepada adik Khaleel Islam. Dugaan paling besar ini diharap dapat dilalui dalam mendepani hari-hari mendatang tanpa adik Khaleel Islam.

Salam takziah buat kedua ibu dan bapa adik Khaleel Islam daripada warga kerja SUARA MERDEKA. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button