Cium kaki ibu di mahkamah, lelaki mesir terselamat daripada hukuman mati
SEORANG hakim di mahkamah Mansoura, Mesir meminta seorang lelaki mencium kaki ibunya.
Ini berlaku selepas hakim melepaskan hak sivilnya dan menyelamatkan lelaki itu daripada hukuman mati kerana telah membakar kakaknya akibat pertikaian harta pusaka.
Menurut laporan Gulf News, semasa perbicaraan, ibu itu berkata sesuatu yang menyentuh hati kepada hakim.
“Tolong jangan pisahkan saya dengan anak saya, apa yang berlaku sudah berlaku. Dia anak tunggal saya. Saya telah kehilangan anak perempuan saya.
“Demi Allah, tolong tinggalkan dia untuk saya,” keluh ibu itu.
Mohammed, 47, disabitkan kesalahan mencurahkan petrol ke atas kakaknya lalu membakarnya menyebabkan kematian pada Oktober tahun lalu.
Dia berbuat demikian kerana kakaknya enggan melepaskan hak warisannya selepas kematian bapa mereka.
Hakim kemudian menyuruhnya mencium kaki ibunya.
“Cium kepala dan kaki ibumu kerana dia telah menyelamatkan nyawamu, dan kamu mesti mencium kakinya siang dan malam,” kata hakim.
Lelaki itu kemudian mendekati ibunya lalu mencium tangan, kepala dan kakinya di hadapan pegawai di dewan mahkamah manakala ibunya menangis.
Mahkamah juga mengurangkan hukuman mati menjadi penjara seumur hidup. – SM