Cikgu Rahim lepaskan jawatan Presiden Kafa
Tenat dengan pelbagai isu hutang, kewangan
DATUK Wan Abdul Rahim Wan Abdullah melepaskan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) selepas setahun menerajui badan induk bola sepak negeri itu.
Buat sementara, Datuk Shaari Mat Husin memangku jawatan Presiden.
Setiausaha Agung Kafa, Husin Deraman mengesahkan peletakan jawatan Wan Rahim itu atau lebih dikenali ‘Cikgu Rahim’ bagi menerajui Kafa.
“Peletakan jawatan itu berkuat kuasa 6 Julai lalu iaitu genap setahun beliau menjadi Presiden Kafa selepas dipilih pada Kongres Luar Biasa (EGM) pada Julai 2019.
“Beliau membuat keputusan melepaskan jawatan itu susulan tidak lagi mampu memimpin Kafa dan untuk memberi laluan kepada pemimpin baharu memimpin persatuan itu,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Wan Abdul Rahim dan timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah ‘direhatkan’ buat sementara waktu daripada menguruskan persatuan itu yang tenat dengan pelbagai isu terutamanya hutang dan kewangan.
Husin berkata, buat sementara waktu pihaknya masih belum memikirkan untuk mengadakan pemilihan presiden baharu bagi mengisi kekosongan itu.
Beliau berkata, Kafa yakin pemangku presiden, Shaari mampu menangani permasalahan dan kemelut yang dihadapi persatuan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M).
“Keyakinan itu berdasaran prestasi dan gerak kerja yang dilakukan oleh Shaari ketika ini apabila diberikan tanggungjawab untuk memimpin Kafa sebagai pemangku presiden dan timbalan presiden,” katanya.
Katanya, buat masa ini Afandi masih lagi timbalan presiden namun direhatkan daripada menguruskan persatuan itu.
“Kami (Kafa) berterima kasih kepada Wan Rahim sepanjang memberikan khidmat bersama persatuan walaupun setahun,” katanya. – SM